Kematian Bennito Mussolini: Bagaimana Hayat Diktator Fasis Itali Berakhir Menakutkan

3853

Apabila Bennito Mussolini, pemimpin zalim fasis Itali sebelum dan semasa Perang Dunia Ke-II dihukum mati pada 28 April 1945, ia sebenarnya satu permulaan.

Khalayak yang marah menggantung, meludah dan merejam mayatnya sebagai tanda tidak menghormati lelaki itu. Dan mengapa mereka berbuat demikian?

Untuk memahami keganasan yang menyelubungi kematiannya, perlu juga kita memahami keganasan yang menyelubungi kehidupannya.

Kebangkitan Mussolini

Kebangkitan Mussolini untuk memegang kuasa di Itali adalah disebabkan peranannya dalam penulisan menggunakan pena di samping mengangkat senjata.

Dilahirkan pada 29 Julai 1883 di Dovia, Predappio, dia seorang yang pintar dan suka mengambil tahu dari awal usianya. Malahan, pada mulanya dia berusaha untuk menjadi seorang guru sebelum mendapati kerjaya itu tidak sesuai untuknya.

Walaupun begitu, dia giat membaca hasil penulisan ahli falsafah Eropah terkenal seperti  Immanuel Kant, Georges Sorel, Benedict de Spinoza, Peter Kropotkin, Friedrich Nietzsche dan Karl Marx.

Pada usia 20-an, dia menerbitkan beberapa akhbar yang menghebahkan propaganda mengenai fahaman politiknya yang semakin ekstrem. Dia mendukung keganasan sebagai kaedah untuk mencipta perubahan, terutamanya dalam perkembangan kesatuan perdagangan dan keselamatan pekerja.

Seorang wartawan yang muda dan memiliki semangat yang membara, dia ditahan dan dipenjarakan beberapa kali kerana menganjurkan keganasan dalam caranya, termasuk menyokong mogok pekerja yang terpalit keganasan di Switzerland pada tahun 1903. Pandangan politiknya sangat ekstrem sehinggakan Parti Sosialis menendangnya keluar dari parti dan dia kemudiannya berhenti dari menulis untuk akhbar.

Mussolini sebagai seorang belia

Mussolini kemudiannya cuba menyebarkan fahamannya sendiri. Hujung tahun 1914, dengan Perang Dunia Ke-I semakin menghampiri, dia mengasaskan akhbar yang dipanggil People of Italy. Menggunakan akhbar itu, dia menggariskan falsafah politik utamanya mengenai nasionalisme dan ekstremisme ganas yang bakal menentukan arah hidupnya.

Mulai dari hari ini kita semua ialah orang Itali dan tidak lain selain orang Itali. Kini besi bertemu besi, satu laungan penyatuan yang datang dari hati kita semua—hidup Itali!

Transformasi menjadi diktator yang kejam

Setelah kerjaya sebagai wartawan muda dan perkhidmatannya sebagai seorang penembak tepat pada Perang Dunia Ke-I, Mussolini mengasaskan Parti Fasis Nasionalis Itali pada tahun 1921.

Disokong oleh penyokong yang semakin bertambah jumlahnya dan skuad paramilitari bersenjata yang memakai seragam hitam, pemimpin fasis itu menggelar dirinya “Il Duce”dan selepas itu dikenali kerana ucapan-ucapan berbaur kemarahan yang disemarakkan oleh pandangan terhadap dunianya yang ganas.

Skuad bersenjata yang memakai seragam hitam ini menjelajah bahagian utara Itali—memulakan kebakaran di bangunan-bangunan kerajaan dan menyebabkan kematian ratusan lawannya—Mussolini telah memulakan mogok pekerja umum pada tahun 1922 dan juga perarakan di Rom.

Apabila 30,000 orang askar Fasis memasuki ibu negara untuk memulakan revolusi, tidak ada jalan lain melainkan pemimpin sedia ada menyerahkan kuasa kepada pihak Fasis. Pada 29 Oktober 1922, Raja Victor Emmanuel III melantik Mussolini menjadi Perdana Menteri. Dia ialah lelaki termuda memegang jawatan tersebut dan kini mempunyai khalayak yang lebih meluas untuk ucapan, dasar dan pandangannya terhadap dunia berbanding sebelum ini.

Sepanjang dekad 20-an, Mussolini membina semula Itali menjadi seperti apa yang diinginkannya. Dan pada pertengahan dekad 30-an, dia mencuba untuk meluaskan penaklukannya ke luar sempadan Itali. Pada hujung 1935, pasukan tenteranya menakluki Ethiopia dan setelah peperangan singkat yang berakhir dengan kemenangannya, dia mengisytiharkan Ethiopia sebagai jajahan Itali.

Beberapa ahli sejarah mendakwa ini ialah permulaan kepada Perang Dunia Ke-II. Dan bila perang itu benar-benar bermula, Mussolini mula mengambil tempatnya dalam pentas dunia.

Il Duce memasuki Perang Dunia Ke-II

Lima tahun selepas penjajahan Ethiopia, Mussolini memerhatikan dari kejauhan apabila Hitler menjajah Perancis. Dalam fikirannya, sepatutnya Itali yang berlawan dengan Perancis. Bagaimanapun, tiada keraguan bahawa pasukan tentera Jerman lebih besar jumlahnya, lebih baik peralatannya dan mempunyai pucuk pimpinan yang lebih bagus. Oleh itu, Mussolini hanya mampu memerhati, bersekongkol dengan Hitler sepenuhnya dan mengisytiharkan perang dengan musuh Jerman.

Gambar: Mussolini dan Hitler di Munich, Jerman sekitar 1940.

Dan kini, Mussolini bermasalah besar. Dia mengisytiharkan perang dengan seluruh dunia—dengan hanya ada Jerman yang membelakanginya.

Il Duce menyedari bahawa pasukan tentera Itali tidak cukup ampuh. Dia memerlukan lebih dari sekadar ucapan yang disemarakkan amarah dan retorik keganasan. Mussolini perlukan pasukan tentera yang lebih kuat untuk mengekalkan pentadbiran diktatornya.

Mussolini dan Hitler

Untuk menggembirakan Hitler dan membuktikan tekad Itali, negara itu menjajah Greece dan Albania. Serangan demi serangan oleh Mussolini bagaimanapun tidak menggembirakan rakyatnya yang masih menganggur, kebuluran dan memberontak. Tanpa campur tangan ketenteraan Hitler, satu rampasan kuasa pastinya telah menjatuhkan Mussolini pada tahun 1941.

Permulaan kejatuhan Mussolini

Menghadapi tekanan di tanah airnya kerana keadaan perang yang menekan dan pemberontakan dalam pasukannya sendiri, Mussolini dipecat dari jawatannya oleh Raja dan Majlis Utama pada Julai 1943. Pakatan telah mengambil semula bahagian utara Afrika dari Itali dan Sicily kini berada dalam kawalan Pakatan yang juga kini memulakan usaha untuk menjajah Itali. Masa yang ada untuk Il Duce kini semakin singkat.

Mereka yang setia pada Raja Itali telah menahan Mussolini dan memenjarakannya. Mereka mengasingkan dia dalam satu hotel yang jauh di pergunungan Abruzzi.

Walaupun pada mulanya Jerman enggan campur tangan, ia kemudiannya menukar fikiran. Pasukan komando Jerman mendarat menggunakan payung terjun di bahagian gunung belakang hotel itu sebelum membebaskan Mussolini dan menerbangkannya ke Munich, untuk bertemu Hitler.

Si Führer meyakinkan Il Duce untuk mengasaskan satu kerajaan fasis di utara Itali—di mana segalanya bermula—dengan Milan sebagai pengkalannya.Denbgan cara itu, Mussolini dapat mengekalkan kuasanya dan Hitler pula mengekalkan sekutunya.

Mussolini kembali ke puncak kekuasaan serta dengan jayanya menekan penentangnya. Anggota-anggota Parti Fasis akan menyeksa sesiapa jua yang menentang fahaman mereka. Sesiapa yang tidak memiliki nama orang Itali dihantar keluar dan kekuasaan Mussolini di utara Itali semakin mencengkam. Tentera Jerman bekerjasama dengan skuad seragam hitam Mussolini untuk memastikan kepatuhan rakyat Itali terhadapnya.

Gambar: Mayat seorang wanita muda, yang dibunuh sebelum dipamerkan di jalanan kerana menentang pemerintahan fasis Mussolini.

Kekejaman Mussolini sampai ke kemuncaknya pada 13 Ogos 1944. Pihak Fasis mengepung 15 orang suspek anti-Fasis, atau mereka yang setia pada ‘Itali yang baru’, di Piazzale Loreto yang terletak di Milan. Mereka ditembak mati oleh pasukan Mussolini dan sejak itu, pihak Partisan menggelar tempat ini ‘Dataran 15 Martir’.

 

Rumah Ladang Kematian Mussolini

Gambar: Rumah ladang di utara Itali, lokasi terakhir Mussolini dilihat masih hidup

Dalam masa lapan bulan selepas itu, penduduk Milan bakal membalas dendam terhadap Mussolini melalui satu tindakan yang dianggap sama saja ganasnya.

Kematian Mussolini

Semasa musim bunga 1945, peperangan di Eropah telah berakhir dan Itali kehabisan dana. Bahagian selatan dipenuhi kemusnahan setelah diserang Tentera Pakatan. Itali kini terpecah, dan semuanya dianggap salah Il Duce.

Bagaimanapun, penahanan Il Duce dianggap sesuatu yang tidak lagi perlu. Walaupun Hitler dikelilingi oleh Tentera Pakatan di Berlin, Itali enggan menyerahkan semuanya kepada takdir.

Pada 25 April 1945, Mussolini bersetuju untuk bertemu Partisan anti-fasis di istana Milan. Di sinilah Mussolini mendapat tahu bahawa Jerman telah memulakan perbincangan untuk menyerahkan dia kepada Partisan, dan merasa amat marah.

Dia membawa perempuan simpanannya, Clara Petacci, melarikan diri ke utara Itali di mana pasangan itu menyertai konvoi Jerman yang sedang bergerak ke sempadan Switzerland. Pada masa ini, Mussolini percaya yang dia akan dapat meneruskan kehidupannya di Switzerland sebagai orang terbuang.

Tanggapannya salah. Il Duce cuba memakai topi keledar Nazi dan menyamar dalam konvoi itu, tetapi dia dikenal pasti dengan segera. Kepalanya yang botak, dagu yang tajam dan mata coklat yang menikam menyebabkan dia dikenali. Mussolini telah membina kumpulan pengikut yang menyokongnya seperti kultus selama 25 tahun sebelum itu dengan menyebarkan poster wajahnya ke seluruh negara, menyebabkan dia dengan mudah dikenal pasti.

Kerana khuatir Mussolini akan diselamatkan oleh Jerman sekali lagi, partisan membawa Mussolini ke satu rumah ladang. Pagi berikutnya, partisan memerintahkan pasangan itu berdiri di hadapan dinding batu berdekatan dengan pintu masuk ke Villa Belmonte, berdekatan Tasik Como dan satu skuad penembak melepaskan tembakan rambang. Sebelum ditembak, perkataan terakhir Mussolini ialah:

Tidak! Tidak!

Mussolini sudah sampai dekat benar dengan sempadan Switzerland, bandar resort Como itu bersempadan dengan negara tersebut. Jika Mussolini dapat bergerak beberapa batu dari situ, dia pasti sudah lepas bebas.

Gambar: Jasad Mussolini yang mati dihukum tembak di Piazza Loroto

Tetapi hanya semudah itu, hayat Mussolini yang disulami keganasan berakhir dengan ganas juga. Namun begitu, walaupun dia telah mati, ceritanya belum berakhir.

Masih belum puas hati, partisan mengepung 15 orang anggota Fasis dan menghukum mati  kesemua mereka dengan cara yang sama. Abang Clara, Marcello Petacci juga ditembak mati sewaktu berenang di Tasik Como dalam percubaan melarikan diri.

Begitu pun, kumpulan yang dikuasai amarah itu belum selesai bertindak.

Satu peluru untuk setiap anak lelaki yang mati

Malam selepas kematian Mussolini, satu trak kargo bergerak masuk ke dalam ‘Dataran 15 Martir’. 10 orang lelaki melambakkan ke tengah Dataran–18 mayat keluar dari kargonya. Ia terdiri dari mayat Mussolini., adik-beradik Petacci dan 15 orang disyaki Fasis.

Ia ialah dataran yang sama di mana, setahun sebelum itu, orang Mussolini menembak mati 15 orang anti-Fasis dalam satu pelaksanaan hukuman mati yang kejam. Semua itu belum dilupakan penduduk Milan, yang kemudiannya melepaskan kekecewaan mereka selama dua puluh tahun di bawah pemerintahan diktatornya kepada mayat-mayat itu.

Orang ramai melemparkan sayur busuk kepada mayat diktator itu. Mereka kemudian memukul dan menendang mayatnya sepuas hati. Salah seorang wanita merasakan Il Duce ‘belum mati sepenuhnya’, dan mengambil peluang menembak wajah diktator itu dari jarak dekat sebanyak lima kali—satu peluru untuk setiap anak lelakinya yang mati dalam peperangan anjuran Mussolini yang gagal.

Ini menyemarakkan lagi amarah penduduk. Salah seorang lelaki mengangkat mayatnya di ketiak supaya semua orang boleh melihat mayatnya. Itu tidak cukup. Mereka mengambil tali, mengikat kaki mayat dan menggantung mayat-mayat itu dalam keadaan kaki ke atas dari palang besi satu stesen bahan api. Orang ramai bersorak:

Tinggi! Tinggi lagi! Kami tak dapat lihat. Tarik tinggi lagi. Macam bangkai babi!

Gambar: Mayat Mussolini, dua dari kiri, tergantung dari palang besi

Dan memang benar, mayat manusia itu kini kelihatan seperti daging tergantung dalam rumah sembelihan. Mulut mayat Mussolini terbuka. Sudah mati pun, dia tidak dapat menutup mulutnya, Manakala mata Clara seolah-olah memandang jauh ke infiniti, tetapi kosong.

Kesan Kematian Mussolini

Berita kematian Mussolini tersebar dengan cepat. Hitler mendengar mengenainya melalui radio dan memutuskan mayatnya tidak akan dicemarkan sama seperti Mussolini. Orang dalam jaringan perhubungan Hitler mendengar dia berkata:

Ini takkan berlaku pada mayat aku.

Dalam wasiatnya yang terakhir, Hitler menconteng di atas kertas:

Aku takkan jatuh kepada kumpulan Yahudi yang bakal menjadikan mayatku hiburan buat orang ramai yang histeria.

Pada 1 Mei, beberapa hari selepas kematian Mussolini, Hitler menembak mati dirinya dan wanita simpanannya. Individu dalam jaringan dalamannya telah membakar mayat mereka semasa pasukan tentera Soviet mara menghampiri.

Mengenai kematian Mussolini, ceritanya belum berakhir. Petang hari mayatnya dicemari, tentera Amerika tiba berserta seorang kardinal katolik. Mereka membawa mayat-mayat itu ke satu perkuburan, di mana pasukan tentera Amerika mengambil gambar saki-baki jasad Mussolini dan Petacci yang mengerikan.

Gambar: Mayat Mussolini dan Clara yang diambil oleh Tentera AS sebelum dikebumikan

Akhirnya pasangan itu dikebumikan di satu kubur tidak bertanda di Milan.

Tetapi lokasinya tidak dapat dirahsiakan terlalu lama. Anggota Fasis telah menggali kubur Il Duce pada hari perayaan Easter 1946 kerana mereka tidak mahu ia dicemari lagi oleh musuhnya.

Mayat itu kemudiannya muncul empat bulan kemudian berdekatan satu rumah suci di Milan. Ia kekal di situ selama sebelas tahun, sebelum Perdana Menteri Itali Adone Zoli menyerahkannya pada balu Mussolini. Wanita itu  kemudiannya mengebumikan saki baki suaminya di tanah perkuburan keluarga.

Namun, cerita belum berakhir. Pada tahun 1966, pasukan tentera Amerika Syarikat menyerahkan satu hirisan otak Mussolini kepada keluarganya. Asalnya, tentera AS mahu menguji hirisan otak itu jika terdapat penyakit siflis.

Ujian yang dijalankan bagaimanapun tidak berjaya menerbitkan sebarang kesimpulan. – amazingnara.com

 

Comments

comments