Kenali Pasangan Suami Isteri Di Sebalik Vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech

Sanggup menghabiskan hampir sepanjang hidup mereka dalam menyumbang kepada bidang penyakit berjangkit dan onkologi, nama pasangan saintis popular dunia, Ugur Sahin dan Ozlem Tureci kini mula disebut-sebut.

Pasangan ini telah menubuhkan syarikat BioNTech di Mainz, Jerman pada 2008 ini mula meraih perhatian umum kerana dilihat gigih membangunkan vaksin COVID-19 yang pertama dengan keberkesanan yang tinggi.

Menurut laporan Astro Awani, BioNTech sebelum ini bersama syarikat farmaseutikal Amerika Syarikat Pfizer telah memaklumkan ujian klinikal vaksin yang dihasilkan mereka menunjukkan kadar keberkesanan lebih 90 peratus dalam mencegah jangkitan COVID-19.

Advertisement

Memetik laporan Reuters, Sahin yang juga Ketua Eksekutif BioNTech bersama isterinya Tureci kini antara 100 individu paling kaya di Jerman.

Lebih menerujakan, pasangan itu turut menubuhkan syarikat Ganymed Pharmaceuticals pada 2001 untuk membangunkan antibodi yang melawan kanser, kemudian dijual pada nilai AS$1.4 bilion pada 2016.

Sekadar informasi, Sahin dilahirkan di Iskenderun, Turki dan kemudian berpindah ke Cologne, Jerman ketika berusia 4 tahun. Manakala, Tureci pula merupakan anak kepada seorang ahli fizik warga Turki, yang juga merupakan migran di Jerman.

Pasangan ini berkongsi dedikasi dan minat yang sama sehingga Tureci pernah mendedahkan kepada media bahawa selepas majlis perkahwinan mereka selesai, kedua-dua mereka pulang ke makmal untuk meneruskan kerja penyelidikan.

Untuk rekod, vaksin yang dihasilkan mereka dijangka mendapat kelulusan Pentadbiran Makanan dan Dadah Amerika (FDA) dalam masa terdekat.

Sumber: Reuters, Astro Awani

Comments

comments