Kerajaan Akan Kaji Arahan Henti Perbaharui Cukai Jalan Di Pejabat Pos Sabah, Sarawak Dan Langkawi

625

Pada 1 September, urusniaga memperbaharui cukai jalan untuk kenderaan dengan enjin berkapasiti  2,000 cc dan ke atas di pejabat pos di seluruh Sabah (termasuk Labuan), Sarawak, dan Langkawi telah dihentikan.

Menurut Bernama, Kementerian Pengangkutan bersedia meneliti semula arahan pemberhentian urus niaga pembaharuan cukai jalan tersebut.

Menterinya Anthony Loke Siew Fook berkata, satu pertemuan dengan Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Seri Shaharuddin Khalid akan diadakan dalam minggu ini untuk melihat sama ada arahan tersebut wajar diteruskan atau tidak.

Ini cadangan JPJ bukan arahan Menteri Pengangkutan, saya faham JPJ bertindak demikian untuk mengurangkan ketirisan pendapatan kerajaan kerana ada kenderaan berdaftar di Semenanjung memperbaharui cukai jalan di Sabah dan Sarawak.

Menteri Pengakutan Anthony Loke

Loke berkata, JPJ mengesan terdapat pemilik kenderaan 2,000 cc ke atas dari Semenanjung yang mengambil kesempatan kadar cukai jalan murah di Sarawak dan Sabah dengan memperbaharui cukai jalan di pejabat pos di kedua-dua negeri terbabit.

Kementerian pengakutan akan kaji semula

Beliau berkata, pada masa sama kepentingan masyarakat di Sarawak dan Sabah perlu diambil kira dalam isu ini kerana memerlukan saluran yang banyak untuk memperbaharui cukai jalan berikutan ada sesetengah kawasan tidak mempunyai pejabat JPJ.

Menurutnya, ketiadaan pejabat JPJ di sesetengah kawasan di kedua-dua negeri ini akan menyukarkan proses pembaharuan cukai jalan bagi penduduk yang tinggal jauh dari lokasi pejabat JPJ negeri atau cawangan.

Pengumuman Pos Malaysia mengenai arahan pemberhentian pembaharuan cukai jalan itu tular di media sosial minggu lepas.

Ia mendapat reaksi negatif netizen terutama yang tinggal di pedalaman Sarawak berikutan tindakan itu didakwa membebankan dari segi kewangan dan masa serta dan menambah kesesakan di pejabat JPJ dan di Pusat Transformasi Bandar (UTC).

 

Sumber: Bernama

 

 

Comments

comments