Kereta Nasional Baru: Keperluan atau Bebanan Negara?

57

Lawatan rasmi Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad ke Jepun pada bulan Jun lalu memberi satu berita yang agak menggemparkan untuk seluruh rakyat Malaysia. Tun Mahathir telah menyuarakan idea untuk mewujudkan satu lagi jenama kereta nasional baru.

Sumber: Harian Metro

“Proton bukan lagi kereta nasional. Ia sekarang milik China.”

Idea itu dilontarkan sebagai tindak balas kepada saham Proton yang telah dijual kepada syarikat automotif gergasi di China, Geely.

Kos dan Risiko Tinggi

Rata-rata rakyat tidak bersetuju dengan cadangan ini. Mana tidaknya, idea ini dilontarkan ketika kerajaan mengumumkan jumlah hutang yang perlu ditanggung negara dan mereka juga menghentikan projek-projek mega seperti Transit Aliran Massa Laluan tiga (MRT3) dan Keretapi Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR). Semestinya projek kereta nasional ini bakal menelan belanja yang sangat besar dan risiko yang tinggi.

Sumber: Sinar Harian

Oleh sebab itu lah projek kereta nasional bukan lagi pilihan negara-negara lain kerana tidak lagi relevan seperti era 1980-an. Bukan sahaja kos mewujudkan syarikat itu sahaja yang perlu diambil kira, tetapi kos-kos lain yang melibat tenaga kerja pakar, fasiliti, perkhidmatan dan kajian (R&D).

Perbandingan Dengan Negara Luar

Thailand memperkenalkan polisi automotif nasional sekitar tahun 1980-an, tetapi negara itu mengambil tindakan yang berbeza dengan Malaysia.

Sumber: thansettakij

Negara kita lebih fokus untuk mengembangkan kereta nasional. Ketika itu juga kerajaan mengenakan duti-duti ke atas jenama kenderaan luar negara, di mana cara ini akan lebih membantu rakyat Malaysia membeli kereta nasional. Tetapi Thailand memilih untuk membuka pintu kepada syarikat-syarikat automotif dari luar negara untuk membuka kilang di sana. Tindakan ini sangat berjaya menarik pelabur luar, ini dibuktikan dengan jumlah pengeluaran kereta sebanyak dua juta unit setahun di Thailand berbanding hanya 500,00 unit sahaja di Malaysia.

Sumber: Scroll in

Banyak negara luar juga memilih untuk meningkatkan dan menaik taraf pengangkutan awam mereka untuk kemudahan rakyat. Contoh paling ketara yang boleh dilihat semestinya Jepun, pengangkutan awam yang efektif adalah satu yang menjadi faktor utama dalam menjana ekonomi negara tersebut. Rakyat Jepun lebih memilih menggunakan pengangkutan awam berbanding kereta walaupun jenama kereta Jepun sangat terkenal di peringkat antarabangsa.

Sumber: The News Wheel

Hyundai, jenama yang berasal dari Korea Selatan, amat terkenal dengan keupayaan perjanjian serantau dengan pembekal untuk memastikan jumlah kos yang kompetitif dan juga melabur dalam sektor kajian dan pembangunan (R&D) sehingga mereka boleh mempunyai pusat R&D bertaraf dunia. Ini membantu membina reputasinya yang gah.

Sumber: The Daily Mail UK

Kisah Holden, jenama kereta dari Australia boleh kita jadikan contoh. Mereka terpaksa menutup syarikat itu walaupun sudah bertapak selama 100 tahun di sana. Ini semua terjadi selepas kerajaan Australia mula meliberalisasikan pasaran kenderaan mereka dan juga kerana jenama kenderaan luar yang mula mendominasi sehingga menyebabkan jenama tempatan terpaksa gulung tikar.

Sokongan Yang Diperlukan

Hasrat mewujudkan kereta nasional ke tiga ini menurut Perdana Menteri akan mendapatkan kerjasama negara serantau seperti Thailand, Korea Selatan, dan Jepun kerana mereka mempunyai kepakaran dalam pembuatan kenderaan. Selain itu, cara ini juga dapat memperluaskan pasaran jenama tersebut.

“Aspirasi kita sekarang ialah untuk memulakan sebuah lagi projek kereta nasional, mungkin dengan kerjasama negara serantau”- dipetik dari laporan Harian Metro

Ini dikuatkan lagi apabila Tun Mahathir memberi bayangan seperti ingin mewujudkan semula projek kereta kerjasama antara Malaysia-Indonesia ketika lawatan rasmi Perdana Menteri ke Indonesia baru-baru ini.

Sumber: Sinar Harian

Pada 15 Jun lalu, Menteri Kewangan Malaysia, Lim Guan Eng telah memberi tahu Tun Mahathir bahawa kerajaan tiada wang untuk projek berkenaan dan dana dari sektor swasta diperlukan jika ingin menjalankannya. Tun Mahathir juga berkata yang beliau tidak berhasrat untuk melaksanakan projek ini sepenuhnya oleh kerajaan dan percaya yang sektor swasta negara mempunyai kepakaran dan kemampuan sendiri.

“Sudah tentu kita tidak akan ada industri automotif milik kerajaan”-Dipetik dari laporan Malaysia Kini.

Sumber: Malaysia Kini

Kesimpulannya, idea tentang kereta nasional ini perlu dikaji dengan teliti dan mengambil kira setiap faktor dan pendapat yang dilontarkan agar tidak lagi berulang perkara yang sama terjadi kepada Proton. Apa pun yang terjadi, Proton masih jenama Malaysia walaupun hampir separuh saham dimiliki oleh syarikat dari negara asing. Bukan sahaja kepentingan kerajaan mahupun politik yang perlu dipandang, malah kemahuan rakyat juga perlu didengari. Kerana dihujungnya nanti, rakyat ialah pembeli dan pengguna kepada kereta tersebut.

Kami mengharapkan keputusan yang wajar dan holistik dapat dibuat untuk industri automotif negara.

Comments

comments