Kisah Pembunuhan Audrey Melissa Bathinathan Pada Tahun 1999

5956

Bagi individu yang berada di kawasan bangunan Dayabumi dan Pasar Seni, kadang kala akan ke Masjid Negara untuk menunaikan solat. Untuk tujuan itu, pastinya akan menggunakan terowong bawah tanah dari Dayabumi ke Masjid Negara.

Tahukah anda sekitar 90-an, terowong itu sering digunakan oleh pelajar-pelajar Sekolah Menengah Perempuan Methodist di Jalan Cenderasari, Kuala Lumpur untuk ke sekolah? Audrey Melissa Bathinathan, 17, ialah antara pengguna laluan bawah tanah itu setiap hari untuk ke sekolah tersebut. Audrey yang berada di Tingkatan Lima ialah seorang pustakawan dan pelajar contoh di sekolahnya.

Audrey ialah satu-satunya anak seorang wanita bernama Margaret Francis, ketika itu berusia 42 tahun, seorang ibu tunggal. Jadi, hanya Audrey yang menjadi peneman setia dan paling rapat buat Margaret.  Margaret yang bekerja sebagai seorang pereka grafik hanya memikirkan perkara-perkara positif tentang masa depan Audrey. Mereka berdua tinggal di sebuah unit rumah kedai di Taman Industri Maju Jaya, Puchong, Selangor. Menurut abang Margaret, Thangaraj:

Dia dan anaknya tidak dapat dipisahkan. Dia hidup kerana anaknya. Dia seorang yang sangat berdikari dan hanya mempunyai satu tujuan dalam hidup–memberikan yang terbaik untuk Audrey.

Ketika itu, Margaret dan Audrey baru berpindah ke Puchong dan mereka tinggal berdua di sebuah rumah kedai. Disebabkan persekolahan hanya berbaki sebulan dua sebelum Audrey menamatkan persekolahan menengah, Audrey tidak berpindah sekolah ke Puchong, sebaliknya berulang-alik ke dari Puchong ke Kuala Lumpur menaiki bas untuk pergi  dan pulang dari sekolah.

Setiap hari, Margaret akan menelefon ke rumahnya waktu tengahari untuk memastikan Audrey berada di rumah setelah pulang dari sekolah.

Pagi 17 Mei 1999,  Audrey keluar dari rumah pukul 5.30 pagi untuk ke sekolah manakala Margaret bergerak ke tempat kerja. Audrey telah turun di Stesen Bas Klang, kemudian berjalan bersama seorang rakannya ke Kompleks Dayabumi.

Di situ, Audrey dan kawannya berpisah arah. Dia dilihat rakannya melintas jalan dan berjalan di kaki lima melepasi British Council dan jalan masuk ke Bukit Aman.


 photo 2_4.jpg
Lokasi penemuan mayat Audrey Melissa

Dia dilihat mendekati terowong bawah tanah menghubungkan Kompleks Dayabumi dan Jalan Cenderasari tetapi ia jarang digunakan oleh pelajar sekolah kerana penagih dadah dan gelandangan sering berlegar di situ.

Namun, Margaret merasa hairan kerana hari itu, tiada siapa yang mengangkat telefon sewaktu dia menelefon ke rumah. Margaret mula risau apabila mendapati Audrey juga tiada di rumah ketika dia pulang dari tempat kerja pada petangnya.

Margaret terus menelefon adik-beradiknya yang tinggal di Kuala Lumpur untuk memaklumkan mengenai kehilangan Audrey dan mereka memulakan pencarian. Mereka menelefon beberapa orang  rakan Audrey  dan rakan-rakan memaklumkan yang Audrey tidak hadir ke sekolah pada hari itu. Tambah Thangaraj:

Itu sesuatu yang mengejutkan buat kami kerana Audrey tidak pernah ponteng sekolah. Lagipun, dia perlu menduduki peperiksaan pada hari tersebut.

Dia tidak pernah ada masalah teman lelaki dan jika ada aktiviti kurikulum atau melawat ibu saudaranya di Bangsar atau Jalan Klang Lama, dia akan beritahu ibunya.

Margaret seterusnya telah membuat satu laporan polis berkenaan kehilangan Audrey di Balai Polis Puchong, kira-kira pukul 6.00 petang itu dan satu usaha pencarian telah dilakukan hingga jam 6.00 pagi berikutnya.

Bagaimanapun, pada pagi itu, iaitu 18 Mei 1999, Margaret menerima panggilan telefon dari Guru Besar sekolah anaknya, yang mayat Audrey Melissa ditemui bersebelahan satu pencawang Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Jalan Kinabalu oleh seorang pekerja Alam Flora.

Mayat Audrey ditemui masih bepakaian seragam sekolah, tetapi beg dan kasut sekolahnya telah hilang. Badannya penuh dengan lumpur dan tanah, manakala seluar dalam yang dipakai pelajar itu didapati diturunkan ke paras buku lali.

Margaret sangat terkejut dan kecewa dengan kejadian itu hingga tidak mampu mengatakan apa-apa.


 photo 3_4.jpg
Hasil laporan forensik mayat Audrey mendapati, terdapat luka di kepalanya menyamai  kesan dipukul dengan batu.  Dia juga telah dirogol, dan kemudiannya dicekik hingga mati sebelum mayatnya dibuang di tepi pencawang tersebut.

Keluarga Margaret terlalu kecewa dengan kejadian itu mula membincangkan untuk menuntut keadilan buat Audrey. Thangaraj memberitahu:

Pihak sekolah tahu bahawa terowong bawah tanah yang sering digunakan pelajar-pelajarnya berdekatan bangunan Dayabumi merbahaya. Beberapa orang pelajar sekolah itu telah diganggu dan dirompak di situ sebelum ini. Apakah yang dilakukan oleh sekolah untuk memperbaiki keadaan? Bila dah jadi begini, baru sekolah hendak bermesyuarat dengan pihak polis. Sudah terlambat, bukan?

Hasil siasatan polis mendapati yang Audrey diserang dan dibunuh di lokasi mayatnya ditemui: di bawah satu jambatan kecil yang menghubungkan pencawang TNB dengan satu kaki lima di Jalan Cenderasari.

Apa yang mengejutkan, hasil laporan bedah siasat mendapati Audrey masih hidup sekurang-kurangnya dalam 20 jam selepas kali terakhir dilihat oleh rakannya sedang berjalan ke sekolah pada 7.00 pagi hari kehilangannya.

Dr Zahari Noor, seorang Konsultan Patologi, Unit Forensik Hospital Kuala Lumpur mengangggarkan dari bedah siasat, yang Audrey meninggal dunia antara 4.30 pagi hingga 7.00 pagi 18 Mei 1999 kerana kekurangan oksigen akibat dicekik.

Ini menunjukkan dua kemungkinan: sama ada Audrey berada dalam keadaan tidak sedarkan diri atau pengsan selama 20 jam sebelum dicekik oleh penyerangnya, ataupun penyerangnya telah menyembunyikan Audrey dalam keadaan masih hidup dan sedar selama 20 jam, sebelum mencekiknya.

Badan Audrey pula mempunyai kesan calar dan lebam yang menunjukkan dia telah cuba untuk melawan penyerangnya, manakala selaput daranya terdapat koyakan baru, menandakan Audrey tidak pernah mengadakan hubungan seks dengan sesiapa sebelum itu. Ia sekaligus melenyapkan khabar angin yang berlegar mengenai gadis itu waktu itu.

Hasil mesyuarat dengan sekolah dan aduan dari para pelajar, polis seterusnya mula menahan seorang beberapa orang suspek. Suspek pertama ialah Karupiah Ponniah, 28, seorang penagih dadah. Karupiah selepas itu telah didakwa atas tuduhan mencabul seorang pelajar pada pukul 6.50 pagi, di kawasan yang juga biasa dilalui oleh Audrey untuk ke sekolah pada 11 Mei 1999.  Bagaimanapun, polis tidak dapat mengaitkan Karupiah dengan pembunuhan Audrey kerana kesan air mani pada mayat gadis itu tidak menyamai profil DNAnya.

Seterusnya, polis mengedarkan foto suspek kedua, seorang lelaki bernama Chris. Chris juga seorang penagih dadah, berusia 30-an, tinggi kira-kira 176 cm dan berambut kerinting. Chris dipercayai gemar berlegar berhampiran pencawang TNB tempat mayat Audrey dibuang sebelum ini.

Namun begitu, usaha polis untuk menyelesaikan teka-teki mengenai pembunuh Audrey menemui jalan buntu walaupun seorang ahli perniagaan telah menawarkan ganjaran RM 20,000 untuk maklumat yang boleh membawa kepada penangkapannya. Terdapat maklumat lain yang diperolehi mengenai Chris tetapi tidak ada perkembangan lanjut mahupun petunjuk baru tentang Chris.

 photo 1_4.jpg

Dalam usaha untuk memastikan kawasan itu lebih selamat, pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL)  dan Alam Flora telah membersihkan semak di lokasi mayat Audrey ditemui dan memasang pagar di sekelilingnya.

Ahli Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah Audrey, pihak polis dan pengawal keselamatan dari satu syarikat kawalan keselamatan yang menawarkan perkhidmatan percuma, iaitu Pernas International Security Sdn Bhd (Prism), telah ditempatkan untuk mengawal terowong bawah tanah yang menghubungkan Dayabumi dengan Jalan Cenderasari bagi memastikan keselamatan pelajar dan orang ramai yang lalu lalang di kawasan tersebut.

Beberapa bulan selepas itu, iaitu pada 15 Disember 1999, Margaret Francis telah memfailkan tuntutan ganti rugi (berasaskan undang-undang kecuaian) terhadap guru besar sekolah Audrey dan Kerajaan Malaysia.

Pasupathy Raj, Guru Besar Sekolah Menengah Perempuan Methodist (di mana Audrey bersekolah) dinamakan defendan pertama, manakala Kerajaan Malaysia (selaku majikan Pasupathy) dinamakan defendan kedua. Dalam tuntutannya itu, Margaret telah menuntut ganti rugi khas RM4,500 sebagai kos pengkebumian, RM10,000 kerana bereavement (kehilangan anak) dan RM450 sebagai kos bedah siasat.

Selain itu, Margaret juga menuntut gantirugi am (general damages), ganti rugi teruk dan teladan (aggravated and exemplary damages), faedah dan kos – yang kesemuanya ini perlu ditaksir dan ditentukan oleh mahkamah nanti andainya plaintif berjaya membuktikan kesnya terhadap defendan.

Menurut Margaret, dia sebenarnya membuat tuntutan ganti rugi bukan kerana mahukan wang sebaliknya dia hanya mahukan keadilan untuk anak perempuannya itu. Komen Margaret setelah memfailkan tuntutan:

I just want justice (saya hanya mahukan keadilan).

Bagaimanapun, satu penyelesaian luar mahkamah telah telah dicapai antara Margaret dengan Pasupathy dan Kerajaan Malaysia.

Setahun selepas kejadian itu, satu sumber yang dekat dengan penyiasatan kes Audrey memberitahu:

Ya, kami telah menemui jalan buntu. Kami hanya akan dapat buat siasatan lanjut sekiranya terdapat bukti atau petunjuk baru.

Kami masih mahukan maklumat dari orang ramai. Berilah apa saja maklumat.

Tahun demi tahun berlalu, namun masih tiada perkembangan baru mengenai pembunuh Audrey.

Tujuh tahun selepas itu, iaitu pada tahun 2006, Margaret masih menuntut keadilan untuk Audrey dan mahu pihak polis menyiasat semula tentang kes itu dengan lebih aktif.

Margaret berpendapat polis tidak berusaha bersungguh-sungguh untuk mencari dan menangkap pembunuh Audrey.

 photo Screen Shot 2016-10-06 at 12.16.32 PM.png

Aduan Margaret sampai ke telinga  Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Persekutuan Datuk Fauzi Shaari, yang telah mendapatkan fail kes Audrey.

Fauzi tidak mahu memberikan harapan namun berjanji akan melihat semula kes tersebut. Bagaimanapun, dia berkata di pejabatnya di Bukit Aman ketika itu:

Begini, sudah tujuh tahun ia berlaku, ia sukar tetapi bukan mustahil sekiranya ada kerjasama dari orang ramai.

Sebagai seorang pegawai polis, saya sukar percaya tiada siapa yang menyaksikan Audrey diculik.

Masa itu 7.00 pagi dan kejadian berlaku dekat dengan sekolahnya.

Jalan itu sibuk dan digunakan oleh ramai pelajar lain. Mesti seseorang telah nampak sesuatu.

Dia juga menambah yang Audrey juga mungkin tidak bernasib baik:

Mungkin pelakunya ada masa lima minit saja untuk tarik dia melalui terowong tersebut yang ditutupi semak.

Fauzi tidak menolak kemungkinan bahawa ada pelajar yang nampak kejadian itu tetapi takut untuk tampil menjadi saksi, ataupun ada saksi yang tidak mahu terlibat.

Selepas tujuh tahun, mungkin mereka lebih berani, atau kesedaran telah timbul dalam diri mereka untuk membantu.

Kata Fauzi kes Audrey tidak pernah ditutup dan mereka mencari petunjuk baru dari masa ke semasa malah mempertimbangkan memanggil semula saksi. Dia mengesahkan seramai 41 orang lelaki telah ditahan untuk membantu penyiasatan kes Audrey:

Mereka dihantar untuk ujian DNA, bukan saja kita ambil contoh darah, malah contoh air mani. Tetapi semuanya tidak padan dengan air mani yang ditemui pada mangsa.

Pada tahun 2014, Margaret Francis yang berusia 57 tahun sambil menangis telah membuat kenyataan pada fz.com, yang hidupnya kini tidak bermakna setelah kehilangan Audrey:

Jika dia masih ada, mungkin saya akan bermain dengan cucu dan hidup saya akan bahagia dan gembira. Anak saya yang tersayang berusia 32 tahun dan saya tak dapat bayangkan apa yang telah dia capai dalam hidup.

Sekarang, yang tinggal hanya hidup yang penuh kekosongan. Saya telah hilang arah hidup dan hanya wujud seperti mayat. Tujuan hidup saya kini hanya satu iaitu mencari keadilan untuk anak saya , Audrey.

Saya hanya akan hidup tenang jika raksasa yang rogol dan bunuh anak saya ditemui. Saya tak boleh tidur dengan nyenyak walaupun selepas 15 tahun. Orang yang lakukannya mungkin tidur nyenyak di satu tempat dan mereka panggil ini keadilan!

Kerana tidak mendapat keadilan untuk anak gadisnya itu, Margaret hidup sukar. Dia diserang strok pada tahun 2007 dan tidak dapat bekerja lagi selepas itu, hanya hidup dengan pendapatan bulanan dari Socso dan Jabatan Kebajikan Masyarakat. Sebelum itu dia bekerja sebagai kerani di sebuah syarikat pembungkusan.

Apa yang berlaku dalam hidupnya menyebabkan Margaret merasa terasing dari kawan-kawan dan saudara mara, kini dia lebih suka dibiarkan sendiri.

Kini saya hanya duduk dikelilingi dinding empat segi rumah saya. Hanya ada gambar Audrey menemani saya.

Dia waktu ini tinggal di sebuah flat kos rendah di Taman Puchong Utama setelah menjual rumah lamanya bagi membiayai kos perubatan setelah diserang strok.

Kerana masih mahu mencari keadilan untuk Audrey, dia masih gigih pergi ke pelbagai balai polis untuk meminta siasatan terus dijalankan.

Tapi polis yang saya jumpa suruh saya tanya polis lain. Bagaimana saya nak lakukan ini seorang diri? Saya hanya bergerak dengan bas dan sukar berjalan kaki.

Bila saya tertekan, saya pergi ke perkuburan Audrey di Cheras dan duduk di kuburnya. Saya sangat sayangkan dia dan harap Tuhan akan temukan kami semula.

Sementara itu, laluan pejalan kaki terowong bawah tanah menghubungkan Masjid Negara dan Kompleks Dayabumi sepanjang 269 meter telah dibaik pulih dan kini dibuka pada orang awam pada Jun tahun ini.


 photo 4_4.jpg

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Loga Bala Mohan berkata, sebanyak RM6 juta telah dibelanjakan bagi pembinaan bumbung pejalan kaki serta naik tarah yang dilakukan sepenuh oleh KLCC (Holdings) Sdn. Bhd.  Katanya di majlis perasmian terowong itu:

Projek yang dilaksanakan merupakan salah satu tanggungjawab sosial korporat syarikat itu dalam mempertingkatkan laluan pejalan kaki antara bangunan ke bangunan yang kini menjadi pilihan warga kota ketika bersiar-siar.

-amazingnara.com
Sumber: NSTP, The Sun Daily, FZ.com, Utusan Malaysia, DBKL

Comments

comments