Kisah Pembunuhan Kanak-kanak Dua Tahun, James Bulger Di Britain Pada 1993-Pt 1

Bahagian 1 | Bahagian 2 | Bahagian 3 | Bahagian 4 | Bahagian 5 | Bahagian 6

Kita lihat kamera litar tertutup di mana-mana, dipasak di satu sudut atau dilekatkan ke siling, memantau kita senyap-senyap sewaktu kita membeli-belah. Adakah ia membuat kita rasa lebih selamat? Atau kita abaikan ia, membuat kesimpulan yang tiada apa yang buruk boleh terjadi dalam pusat membeli-belah?

Kamera litar tertutup dipasang di pusat membeli-belah atau kedai untuk mengenal pasti pencuri. Tetapi pada 12 Februari 1993, pada satu petang Jumaat yang tenang, kamera keselamatan di pusat membeli belah Bootle Strand berdekatan Liverpool, England, telah merakam satu kes kecurian paling tragik.

Mereka kelihatan seperti adik-beradik, yang memimpin adik bongsu untuk keluar dari kesibukan pusat membeli-belah yang penuh pelanggan dan aktiviti jual beli. Orang yang lalu lalang tidak mempedulikan mereka, tidak sedar yang senario itu sebenarnya ialah satu permulaan kepada salah satu kes pembunuhan paling tragik dalam sejarah Britain, sedang berlangsung di depan mata mereka.
3

Advertisement

Terlalu muda untuk melawan, terlalu muda untuk mengetahui apa yang lebih baik buatnya, budak kecil itu meletakkan kepercayaan kepada kanak-kanak lelaki yang memimpin tangannya dan membawanya pergi.

Pada waktu ini juga, ibu budak kecil itu, Denise, sedang panik mencari anak tunggalnya yang telah hilang.

Budak kecil itu ialah James Bulger, yang waktu itu berada di tangan dua orang pembunuhnya. Dia sedang dibawa dalam satu perjalanan tanpa arah tuju, dan dalam perjalanan, bakal diseksa dengan kejam. James akan dipukul tanpa belas kasihan oleh penculiknya, dua kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun, yang kemudiannya akan meninggalkan dia atas landasan keretapi.

Sepanjang perjalanan, mereka bertiga terserempak dengan ramai orang dewasa. Satu pertanyaan ringkas mungkin boleh menghalang tragedi itu dari belaku.

Budak kecil itu tak apa-apa? Biar pakcik/makcik tolong carikan ibunya.

Ia mungkin telah boleh menghalang kesedihan teramat buat ibu James.

Penculikan James Bulger

Jon Venables dan Robert Thompson telah mencuri sepanjang hari di pusat membeli-belah itu: gula-gula, patung troll, bateri, setin cat biru dan barang-barang lain. Mengapa pula mereka memutuskan untuk mencuri seorang bayi? Adakah ia dirancang lebih awal, atau hanya keinginan spontan yang membuak-buak?

Bila mereka telah ‘memperoleh’ bayi itu, mereka tidak tahu apa yang hendak dilakukan dengannya.

Mereka boleh tinggalkannya di tepi jalan dengan mudah, atau di tepi kedai untuk ditemui orang lain. Tetapi Jon dan Robert, seperti kanak-kanak yang lebih suka memusnahkan barang milik mereka dari memberinya kepada kanak-kanak lain, telah membunuh bayi itu. Ibu bapa James tidak akan melihat anak mereka dalam keadaan hidup lagi.

Jon dan Robert dianggap ‘budak jahat’. Namun tidak ada apa-apa rekod lampau yang memberi bayangan mereka sanggup bertindak kejam. Siapa dia antara mereka yang mencadangkan menculik James Bulger?

Ramai menganggap Robert, kerana dia kelihatan kuat, serta memang suka menimbulkan masalah dari kecil lagi. Robert seperti pembuli tipikal dengan bentuk badan yang tinggi dan rambut yang dicukur. Jon sebaliknya lebih kurus dan nampak lebih lemah.

Berbanding Robert, Jon nampak lebih sensitif dan naif. Ia mulanya nampak seperti Robert yang menjadi pelaku utama manakala Jon pula menjadi pelaku sampingan.

Tetapi apabila penyiasat memerhati kelakuan dan mendengar pengakuan kanak-kanak itu, mereka mula merasakan ada sesuatu yang lebih kompleks mengenai kedua-duanya.

Baca: Kisah Pembunuhan Ratu Cantik Australia, Anita Cobby

Dalam kes Robert dan Jon, tanggapan awal mereka menyimpang.

Sudah tentu, Robert menyalahkan Jon manakala Jon menuding jari kepada Robert. Bagi kanak-kanak, menipu ialah cara melepaskan diri dengan mudah, terutamanya dengan adanya kanak-kanak lain. Dan jika mereka mengaku kesalahan sekali pun, bagaimana kanak-kanak berusia 10 tahun menggambarkan dengan perkataan sikap permusuhan mereka serta keinginan untuk mencacatkan bayi dua tahun?

Pakar psikologi kanak-kanak telah menyiasat dengan mendalam naratif kedua-dua kanak-kanak itu, untuk mencari klu mengapa mereka melakukannya.

Ibu kedua-dua kanak-kanak itu langsung tidak membantu. Salah seorang dari kanak-kanak itu akhirnya mengaku telah membunuh James. Adakah ini bermakna yang seorang lagi tidak bersalah?

Kisah tragik kematian James Bulger yang tidak sepatutnya berlaku masih menarik minat ramai orang hingga ke hari ini. Kita mungkin takkan tahu mengapa mereka melakukannya, tetapi kita boleh mencantumkan kepingan puzzle perjalanan mereka bertiga tengahari itu melalui testimoni saksi dan versi cerita Robert dan Jon mengenai pembunuhan James Bulger.

Mangsa, James Bulger

Denise Bulger membawa James ke mana-mana saja. Dia kehilangan anak pertamanya semasa hamil, jadi dia tidak mahu apa-apa yang tidak diingini berlaku kepada anak keduanya.

Pada usia 25 tahun, dia bercadang untuk mengandung lagi tetapi pada masa itu, hanya James seorang anaknya dan dia sentiasa dekat dengan anaknya itu. James pada masa kejadian, akan berusia tiga tahun pada bulan berikutnya, mempunyai mata biru yang galak, senyuman yang girang dan rambut berwarna coklat tanah.
4

Pada Jumaat, 12 Februari, Denise menemani kekasih adik lelakinya, Nicola, ke pusat beli belah Bootle Strand dan sudah tentu dia membawa James bersama.

Pada pukul 2.30 petang mereka memasuki pusat beli-belah dua tingkat yang moden itu. Dalam pusat itu, laluan pejalan kaki dilapik dengan jubin seramik dan diterangi cahaya matahari yang tembus melalui atap lutsinar.

Nicola pada masa itu hendak memulangkan pakaian dalam di satu kedai TJ Hughes manakala Denise menunggu berhampiran sambil menjaga James.

Petang itu, James meragam dan enggan diletakkan dalam kereta sorong. James merayap tetapi bila menyedari dia seorang diri, dia akan menjerit.

Denise mendukung James dan mereka meninggalkan TJ Hughes. Dia membelikan jajan untuk James supaya anak kecil itu akan berhenti meragam.

Di sebuah kedai pakaian kanak-kanak, James mencampakkan pakaian bayi merata-rata dan di sebuah kedai lain, telah memegang gula-gula dan jus kotak sebelum sempat Denise menghentikannya.

Kemudian mereka beredar, singgah sebentar di tempat persinggahan terakhir sebelum pulang, iaitu sebuah kedai menjual daging. Denise masuk ke dalam kedai, meninggalkan James sebentar di sebelah pintu.

Disebabkan kedai agak lengang, Denise menganggap tiada masalah untuk meninggalkan sebentar James yang enggan didukung di situ.

Namun, penjual daging tersilap mengendalikan pesanan, menyebabkan Denise mengambil masa yang lebih lama untuk urusan jual beli. Teman Denise, Nicola, baru saja melihat James bermain dengan puntung rokok di lantai.

Apabila selesai membeli daging, Denise keluar dari kedai untuk mendukung anaknya pulang, tetapi James telah hilang. Denise berlari masuk ke kedai semula, berdebar-debar.

Saya hanya berada di dalam kedai beberapa saat. Saya toleh dan lihat James dah tiada.

Kaki Ponteng

Pagi yang sama, Jon Venables meninggalkan rumahnya yang terletak di Merseyside untuk ke sekolah. Dia membawa nota dari ibunya, meminta supaya dia dibenarkan membawa tikus gurun dari sekolah untuk dipelihara sewaktu cuti yang bakal mendatang.

Tetapi di pertengahan jalan, dia meninggalkan beg sekolah di tempat persembunyian kegemarannya . Dia ternampak Robert Thompson, yang sedang melepak dengan adik lelakinya. Kedua-duanya ponteng sekolah.

Dan sebenarnya mereka tiada benda lain hendak dilakukan. Jon dan Robert, kedua-duanya bencikan sekolah, kerana mereka rasa seperti orang terbuang di situ. Kedua-duanya lambat setahun menaiki kelas, dan sering dimalukan kanak-kanak lain atas sebab itu. Mereka berdua kemudiannya menjadi ‘pakar ponteng’.

Jumaat itu, mereka berjalan ke Bootle Strand. Sewaktu bersiar-siar di pusat membeli-belah tersebut, melewati kedai-kedai, mereka diperhatikan oleh jurujual.

Mereka memakai seragam sekolah, jadi jelas mereka sedang ponteng, dan ia menandakan mereka suka menimbulkan masalah.

Jon dan Robert datang ke situ untuk mencuri. Tak kisahlah curi apa. Mereka merayap di kaunter-kaunter jualan, menyonglap apa saja yang dapat dicapai masuk ke dalam poket ketika jurujual sedang sibuk.

Mereka telah mencuri bateri, cat enamel, pen, pensel, patung troll (Robert ialah seorang pengumpul), buah-buahan, gula-gula, alat solek dan barang perhiasan murah. Mereka sempat mengambil satu askar mainan, dan bermain dengan askar itu di eskalator, menolaknya jatuh ke tangga-tangga bergerak.

Apa yang telah dicuri, akan dibuang kemudiannya. Yang seronok cuma bahagian ‘mencuri’ itu saja.

Ke mana pun mereka pergi di situ, orang dewasa menyuruh mereka balik. Mereka menendang setin cat enamel sehingga catnya mula mengalir keluar. Mereka mengusik seorang wanita tua, mencucuk belakang wanita itu dengan jari sebelum melarikan diri. Mereka memanjat kerusi-kerusi di sebuah outlet McDonalds sehingga dihalau keluar.

Jurujual bertanya, mengapa mereka tidak berada di sekolah? Mereka berbohong, mengatakan sedang bercuti.

“Jom kita cari budak.”

Idea siapa sebenarnya untuk mengumpan seorang anak kecil? Setelah ditahan, Robert mendakwa Jon berkata:

Jom cari seorang budak. Dah lama aku tak pukul budak kecil.

Tetapi Jon menyalahkan Robert:

Jom sesatkan seorang budak kecil. Kita buat dia hilang di luar dan buat dia kena langgar dengan kenderaan.

Mungkin mereka berdua berkata benar, mungkin mereka mula rasa teruja apabila bercakap mengenai budak. Adakah ia mulanya hanya satu gurauan, atau cabaran? Kanak-kanak lelaki selalu ingin tunjuk hebat, bercakap besar mengenai pencapaian mereka, mencabar antara satu sama lain.

Adakah Jon terdesak untuk membuat kawannya yang berbadan besar itu kagum? Adakah Robert ingin buktikan dia memang samseng?

Apa yang pasti, keduanya tidak berundur atau membatalkan keputusan setelah berkata ingin mencari seorang budak. Dengan mencuri seorang bayi, mereka seolah-olah cuba membuktikan kepada satu sama lain mereka bukan bayi lagi.

Di gedung TJ Hughes, seorang wanita perasan anak perempuannya yang berusia tiga tahun dan anak lelaki dua tahun sedang bermain dengan dua kanak-kanak lelaki yang lebih tua.

Kanak-kanak itu, Jon dan Robert, melutut berdekatan, kemudian membuka dompet dan menutupnya semula beberapa kali untuk menghasilkan bunyi bagi menarik perhatian anak-anak wanita itu.

Wanita itu memanggil anak-anaknya. Mereka kembali kepadanya, tetapi kemudian merayap semula.

Setelah wanita itu membayar untuk barangan yang dibeli, dia menemui anak perempuannya dan bertanya di mana adik lelaki yang berusia dua tahun. Jawab anak perempuannya:

Dah keluar dengan budak-budak lelaki.

Ibu itu berkejar keluar dan menjerit nama anaknya. Dia melihat Jon dan Robert yang sedang melambai supaya anaknya yang kecil itu mengikut mereka. Dan anaknya sudah menghampiri mereka, tetapi apabila Jon terlihat wanita itu, mereka terkaku. Kata mereka:

Pergilah balik pada ibumu.

Dan mereka berdua kemudiannya menghilang dari situ. Kemudian, Jon dan Robert datang ke sebuah gerai konsesi berdekatan kedai daging, dengan harapan dapat mencuri gula-gula, tetapi gerai itu tidak dibuka.

Ketika berdiri di situ beberapa saat, memikirkan apa hendak dibuat seterusnya, mereka ternampak seorang bayi yang mengenakan jaket biru di depan kedai daging. Bayi itu sedang makan gula-gula Smarties. Kata Jon:

Datanglah sini, baby.

James menurut permintaan Jon, datang dan menyambut huluran tangan kanak-kanak yang lebih tua itu.
5

Sewaktu mereka bertiga berjalan di pusat beli-belah tersebut, beberapa orang wanita memerhatikan mereka. Dua kanak-kanak lelaki yang lebih tua dilihat memanggil bayi itu untuk mengikut mereka.

Mereka bertiga kemudiannya meninggalkan pusat beli belah tersebut. Kamera video telah merakam pergerakan keluar mereka pada pukul 3.42 petang.

“Bayi itu telah hilang.”

Denise kini panik. Dia dibawa ke pejabat keselamatan, dan memberi gambaran tentang ciri-ciri fizikal anaknya kepada pengawal. Anak kecil itu memakai jaket biru dan pakaian olahraga berwarna kelabu. Kemeja T yang dipakai oleh James tertulis perkataan ‘Noddy’ dan skaf biru yang dipakai oleh bayi itu mempunyai gambar kucing putih.

Pihak sekuriti tidaklah risau sangat. Ibu bapa yang kehilangan anak di pusat beli-belah itu ialah perkara biasa dan mereka memang selalu sangat mengumumkan nama dan keterangan mengenai kanak-kanak yang hilang melalui pembesar suara.

Tetapi tiada siapa memberi respon tentang James. Denise dan Nicola mencari James di kedai-kedai kemudian memeriksa semula di pejabat sekuriti, namun James masih tidak kelihatan.

Pada pukul 4.15 petang mereka membuat laporan kanak-kanak hilang di Balai Polis Marsh Lane.

“Saya mahu emak saya.”

Jon dan Robert berlalu pergi dari pusat beli-belah Bootle Strand dan kemudian berjalan di Jalan Stanley. Mereka mendukung anak kecil itu, yang meragam dan menangis. Mereka menurunkan James berdekatan sebuah pejabat pos dan berkata dengan kuat:

Baby okay, ke? Kan dah bagitahu, jangan berlari.

James menangis meminta ibunya, tetapi Jon dan Robert meneruskan perjalanan, mengabaikan rayuan James. Jon memegang tangan bayi itu sewaktu mereka berjalan. Kadangkala dia berlari ke hadapan, kadang-kadang dia tertinggal ke belakang.

Mereka berjalan melalui sebuah terowong dan bawah sebuah jambatan sebelum tiba ke sebuah kawasan terpencil. Jon dan Robert bergurau mahu menolak James ke dalam air.

Dan di terowong itu mereka mula mencederakan James. Salah seorang dari mereka (mereka menyalahkan satu sama lain) mengangkat James kemudian menjatuhkan James dengan kepala ke bawah. Jika mereka serius mahu mencederakan seorang bayi, mengapa tidak di situ? Mereka ada peluang dan mereka mengambilnya untuk membuat serangan pertama kepada James.
6

Namun begitu, Jon dan Robert merasa takut, lalu lari dari situ. Mereka tidak bersedia untuk membunuh, jadi mereka biarkan James seorang diri di terowong, menangis.

Seorang wanita terlihat James dan menganggap James datang ke situ bersama mereka berdua. Jon dan Robert kembali berjalan ke arah James.

Datanglah sini, baby.

James yang sangat naif, dengan luka besar di kepala dan dahi, datang ke arah penderanya. Mereka berdua menaikkan penutup kepala pada jaket yang dipakai James untuk menutup lukanya supaya ia tidak kelihatan.

Orang yang lalu lalang nampak wajah James dibasahi air mata. Ada yang nampak luka pada bayi itu tetapi tiada siapa tahu apa yang patut dilakukan. Sekiranya James menjerit dan memanggil ibunya atau sekiranya kanak-kanak 10 tahun yang menemani James bersikap kejam terhadapnya di hadapan orang ramai, sudah tentu James telah diselamatkan seseorang.

Malangnya tiada siapa tahu apa yang sebenarnya sedang berlaku. Sesuatu yang tidak mungkin dapat disedari–bahawa dua orang kanak-kanak 10 tahun itu sedang cuba mengumpan kanak-kanak itu pergi lebih jauh supaya dia dapat dibunuh.

Nota: bersambung ke Bahagian 2

Sumber: Variasi artikel di Internet

Bahagian 1 | Bahagian 2 | Bahagian 3 | Bahagian 4 | Bahagian 5 | Bahagian 6

Comments

comments