Kisah Pembunuhan Pengacara Kanak-Kanak Di Jalan Kuchai Lama Pada Tahun 1991

3967

Pembunuhan pengacara Kelab Kanak-Kanak Angkasapuri Radio Televisyen Malaysia (RTM), Intan Yusniza Mohd Yunus dan ibu angkatnya pada Jun 1991 menarik perhatian umum sehingga ada pihak menawarkan RM20,000 kepada sesiapa yang memberi maklumat sehingga tertangkapnya pembunuh.

Ganjaran ditawar bagi memastikan penjenayah ditangkap lantaran perbuatan itu tidak berperikemanusiaan kerana membabitkan kanak-kanak kecil selain khuatir keselamatan penduduk lain turut terancam.

Siasatan awal terhadap keadaan kedua-dua mayat mangsa membawa kepada andaian yang ibu angkat Intan Yusniza, Haniza Ismail, 56, dipercayai dirogol.

Manakala gadis sunti itu pula berkemungkinan dicabul kehormatannya sebelum dibunuh di rumah mereka di Jalan Kuchai Lama, Kuala Lumpur.

Keputusan awal bedah siasat yang dilakukan pada mayat mangsa mendapati, ada lima kesan kecederaan di kepala Allahyarhamah Haniza manakala pada jasad Intan Yusniza pula dua kesan kecederaan di kepala akibat hentakan kuat benda keras.

Siasatan awal juga menyebut, kedua-dua mangsa mungkin dibunuh antara jam 4 hingga 6 pagi hari Ahad dan orang yang terbabit dalam pembunuhan dipercayai masuk ke dalam rumah melalui cara baik kerana tiada kesan pecah rumah ditemui pada kediaman mangsa.

Intan dan ibu angkatnya dilihat kali terakhir oleh penduduk setempat berada dalam sebuah van, kira-kira jam 1.15 pagi Ahad iaitu kira-kira 30 jam sebelum mayat mereka ditemui pada jam 8.30 pagi Isnin.

Seorang penduduk mendakwa, ketika sampai di sebuah warung di kawasan perumahan Penempatan Seri Budiman, Jalan Kuchai Lama, Allahyarham Haniza melambai-lambaikan tangannya kepada beberapa jiran yang masih berada di situ.

Kes pembunuhan itu segera mendapat liputan meluas media massa yang antara lain mendedahkan Intan tinggal bersama ibu angkatnya itu sejak kecil selepas diserahkan ibu kandungnya sebaik dilahirkan.

Laporan akhbar berhubung perkembangan kes ketika itu juga memetik sumber-sumber berkaitan.

Menyatakan sepanjang tempoh 24 jam sejak mayat mangsa dijumpai, polis menerima petunjuk penting dan mengesan empat lelaki disyaki terbabit dalam pembunuhan itu.

Empat lelaki itu dipercayai penghuni Penempatan Seri Budiman, Jalan Kuchai Lama, tempat dua beranak itu tinggal.

Fakta Kes

Mentari pagi sudah lama muncul dan menyinari kawasan perumahan di Jalan Kuchai Lama, Kuala Lumpur pada Isnin, 24 Jun 1991.

Beberapa penduduk yang melalui berhampiran kedai runcit yang diusahakan Hanizah Ismail, 56, berasa hairan tatkala melihat premis itu masih belum dibuka walaupun jam sudah menunjukkan kira-kira 8 pagi.

Aneh, seolah-olah kedai runcit yang pegun itu tidak akan dibuka terus pada hari itu. Tidak seperti hari-hari sebelumnya, Hanizah pasti sudah lama memulakan perniagaannya menjelang waktu berkenaan.

Jiran wanita terbabit mula mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena lalu bergegas ke rumah Hanizah yang terletak berhampiran.

Pintu rumah pengusaha kedai runcit itu diketuk dan nama wanita itu dipanggil berulang kali namun tiada sebarang jawapan diterima.

Bersama dua lagi jiran lain, mereka kemudian menjenguk ke dalam rumah Hanizah melalui tingkap cermin hadapan yang tidak berkunci.

Pandangan mereka segera menangkap sesusuk tubuh yang terbaring di ruang tamu bagaikan sedang tidur.

Debaran mula mengasak dada tatkala mereka mula menyedari yang jasad itu adalah Hanizah malah tubuh wanita itu dihurungi semut.

Curiga mula membenih di benak minda masing-masing lalu sekali lagi mereka melaung memanggil nama wanita itu. Bagaimanapun, jasad Hanizah tetap tidak bergerak seolah-olah tidak lagi mendengar laungan lantang mereka.

Cemas melihat keadaan itu, jiran wanita terbabit segera meminta pertolongan seorang penduduk lelaki yang berada berhampiran.

Lelaki itu menjenguk ke dalam dan mendapati jasad Hanizah sudah kaku dan diharungi semut.

Akan tetapi, lebih mencemaskan apabila pandangannya segera menangkap keadaan tubuh wanita itu yang dalam berlumuran darah.


Tidak lama selepas itu, pintu rumah terbabit berjaya dibuka dan sepasukan polis mula masuk memenuhi ruang rumah terbabit bagi menjalankan siasatan.

Di samping jasad Hanizah, turut ditemui adalah mayat anak angkatnya berusia 12 tahun, Intan Yusniza Mohd Yusof.

Kedua-dua beranak itu mati dibunuh di dalam rumah berkenaan dengan kepala kedua-dua mangsa berlumuran darah akibat cedera parah dihentak objek tertentu.

Polis juga mendapati barang kemas dan wang tunai milik mangsa, hilang.

Mereka kemudian diberitahu yang Allahyarham Hanizah tinggal di situ bersama Intan Yusniza hampir empat tahun lalu iaitu selepas suami wanita terbabit yang juga bekas anggota polis berpangkat sarjan, meninggal dunia pada 1986.


Mayat Hanizah dan Intan Yusniza kemudian dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk dibedah siasat sebelum dikebumikan di tanah perkuburan Islam Damansara, kira-kira jam 10 malam, hari sama.

Demikianlah bermulanya kes pembunuhan yang menarik perhatian ramai pihak sekitar 1991.

Intan Yusniza, murid darjah enam Sekolah Kebangsaan Salak Selatan yang juga pengacara tetap rancangan Kelab Kanak-kanak Angkasapuri, Radio Televisyen Malaysia (RTM), mati dibunuh bersama ibu angkatnya.

Penganggur Dituduh Bunuh Intan, Ibu Angkat

Pada 12 Julai 1991 iaitu selepas 18 hari mayat Pengacara Kelab Kanak-Kanak Angkasapuri Radio Televisyen Malaysia (RTM), Intan Yusniza Mohamad Yunus, 12, dan ibu angkatnya ditemui, seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur.

Zainuzzaman Mohd Jasadi, 24, dihadapkan bagi tuduhan sementara, membunuh Intan dan ibu angkatnya, Haniza Ismail, 56, di rumah nombor 74, Blok 5, Rumah Panjang, Kampung Seri Budiman, Jalan Kuchai Lama antara jam 9.30 malam 22 Jun 1991 dan 7.42 pagi 24 Jun 1991.

Lelaki bertubuh kecil dan rendah dengan ketinggian kira-kira 1.63 meter itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Tertuduh yang ditahan pada 1 Julai 1991, tiba di mahkamah pada jam 9 pagi dengan diiringi anggota polis manakala tiada saudara-mara tertuduh yang hadir di mahkamah.

Seterusnya perjalanan kes perbicaraan membabitkan lelaki itu terus mendapat liputan media dan menjadi tumpuan masyarakat yang ingin mengetahui sama ada benar lelaki itu bersalah serta apa sebenarnya yang berlaku pada malam pembunuhan.

Mahkamah pada 28 Oktober diberitahu yang siasatan awal mendapati punca kematian kedua-dua mangsa adalah akibat kecederaan teruk di kepala sehingga berlakunya pendarahan otak, berikutan dipukul senjata tumpul.

Selain di kepala, kedua-dua beranak itu tidak mengalami kecederaan di bahagian lain tubuh mereka. Mangsa juga dipercayai meninggal dunia, dua atau tiga hari sebelum mayat mereka dijumpai.

Turut dimaklumkan kepada mahkamah adalah bedah siasat ke atas Haniza yang berlumuran darah pada sebelah kiri tubuhnya, menemui lima koyakan dan dua lebam akibat dipukul di bahagian telinga kiri.

Kepalanya pula retak di tiga bahagian akibat gegaran di sebelah kanan.

Bedah siasat mayat Intan pula merekodkan beberapa lebam di kepala dan leher selain pendarahan di luar kulitnya.

Ada tidak kurang daripada empat lebam dan beberapa calar di muka dan leher Intan selain lima luka di sebelah kiri kepala dan telinganya.

Tengkorak Intan pula berkecai di beberapa tempat dan otaknya mengalami pendarahan secara menyeluruh berikutan dipukul benda tumpul.

Kesan lebam turut dikesan pada paha dan tepi kemaluan Intan tetapi ujian sperma ke atas kedua-dua mayat itu adalah negatif.

Sidang mahkamah 29 Oktober 1991 diberitahu saksi pendakwa yang tertuduh mengaku kepada polis yang dia membunuh kedua-dua beranak itu.

Pengakuan itu dibuat di Balai Polis Brickfields ketika disoal siasat kira-kira jam 12.30 tengah hari, 2 Julai 1991.

Tertuduh juga dikatakan bersetuju menunjukkan tempat beliau menyembunyikan senjata yang digunakan dalam kejadian itu lalu membawa polis ke rumahnya di Jalan Kuchai Lama.

Tertuduh kemudian membawa polis ke sebuah bilik belakang rumah itu lalu menunjukkan sebatang besi paip di bawah almari serta sehelai baju T biru yang dipakai ketika dia melakukan pembunuhan itu.

Penganggur Dihukum Gantung Sampai Mati

Pada 17 Ogos 1992, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur akhirnya mendapati tertuduh bersalah membunuh Intan Yusniza lalu dijatuhkan hukuman gantung sampai mati.

Hakim membuat keputusan itu selepas enam daripada tujuh juri yang bersidang selama tiga jam, bersetuju tertuduh bersalah terhadap tuduhan membunuh Intan.

Tanpa seorang pun ahli keluarganya yang hadir ke mahkamah, tertuduh kelihatan tenang ketika hakim membaca hukuman terhadapnya.

Selepas keputusan dibaca, hakim bertanya kepadanya sama ada tertuduh ingin berkata apa-apa tetapi dia hanya mampu berdiam diri. Zainuzzaman kelihatan bersalaman dengan peguambelanya sebelum dibawa ke lokap.

Ketika menggulung hujah, hakim berkata, tertuduh dikaitkan dengan Intan kerana adanya seutas rantai bersama loket yang berbentuk perkataan Intan.

Tertuduh juga memberitahu mahkamah pada 23 Jun 1991, dia masuk ke rumah Intan kira-kira jam dua pagi melalui lubang angin di ruang dapur untuk mencuri.

Keputusan gantung sampai mati itu menyebabkan tertuduh membuat rayuan tetapi Mahkamah Persekutuan pada 29 September 1997 menolak rayuan itu sekali gus mengekalkan hukuman mati terhadapnya.

Dengan penolakan rayuan itu, Zainuzzaman diiring pegawai penjara ke suatu lokasi di Penjara Kajang pada 5 Oktober 2001.

Kemudian kepalanya ditutupi kain dan lehernya dililit di tali gantung. Ketika gear ditarik, lantai di bawah kakinya terbuka dan jasadnya menjunam ke bawah.

Lehernya dijerut tali gantung dan pada hari itu, berakhirnya satu daripada kisah pembunuhan yang pernah menarik tumpuan rakyat negara ini.

Selebriti Kelab Kanak-kanak Angkasapuri yang juga gadis sunti berusia 12 tahun, dibunuh seorang penganggur.

Sumber : metro, berita harian, variasi artikel di internet

Comments

comments