Kisah Sedih Meruntun Jiwa Mengenai Dina Sanichar, Mowgli Di Dunia Sebenar

Pasti anda pernah menonton atau membaca mengenai kisah animasi The Jungle Book dan Mowgli : Legend of the Jungle, dua buah filem yang diadaptasi dari karya pelukis terkenal Britain, Rudyard Kipling.

Filem ini mengisahkan tentang seorang anak kecil bernama Mowgli yang ditinggalkan oleh ibu bapanya di sebuah kawasan hutan rimba di India sewaktu melarikan diri akibat diserang harimau.

Mowgli kemudiannya ditemui dan dibesarkan oleh sekawan serigala bersama seekor beruang dan seekor harimau kumbang. Dia akhirnya menjadi sebahagian daripada ahli keluarga serigala tersebut.

Berdasarkan kisah benar

Sebenarnya watak Mowgli di dalam filem tersebut adalah benar-benar wujud di India pada suatu masa dahulu. Kipling menjadikan kisah benar ini sebagai inspirasi dalam menghasilkan karyanya.

Advertisement

Penulis terkenal Rudyard Kipling ini dilahirkan dan dibesarkan di India sebelum dihantar ke England untuk menyambung pelajarannya.

Kisah Mowgli ‘manusia serigala’

Kisah ‘manusia serigala’ ini mula menjadi sebutan selepas sekumpulan pemburu di Bullandshahr, Uttar Pradesh,India bertemu dengan seorang budak lelaki dalam lingkungan 6 tahun sedang berjalan bersama sekawan serigala pada tahun 1867.

Hairan dengan kejadian tersebut mereka kemudiannya mengekori rapat anak kecil tadi bersama kawanan serigala terbabit pulang ke rumah mereka.

Di situlah pemburu-pemburu ini nekad membunuh kesemua serigala tersebut lalu menculik anak berkenaan kerana bimbang dia akan diapa-apakan.

Tanggapan mereka, mereka baru sahaja menyelamatkan seorang budak kecil, namun buat anak tersebut ia adalah sebaliknya. Dia baru sahaja menyaksikan seluruh keluarganya dibunuh dengan kejam oleh manusia.

Di hantar ke rumah anak yatim dan dinamakan Dina Sanichar

Anak kecil itu kemudiannya di bawa keluar dari hutan tersebut dan di hantar ke sebuah rumah anak yatim sebelum dibaptis dan diberi nama Sanichar (bermaksud Sabtu dalam bahasa Urdu kerana Diuna difahamkan ditemui pada hari Sabtu).

Kisahnya tidak seindah filem

Kisah hidup Dina tidaklah seindah di dalam filem. Dia bukan sahaja bergelut untuk hidup di dunia moden, malah dia juga telah dikategorikan sebagai bebal kerana IQ nya yang terlalu rendah.

Dina bukan sahaja tidak boleh menulis dan membaca, dia juga gagal bertutur seperti manusia biasa. Dia sebaliknya hanya mengeluarkan bunyi seperti seekor haiwan.

Malah postur jalan Dina juga lain dari manusia biasa. Dia kelihatan sedikit bongkok sewaktu berjalan memandangkan sudah bertahun lamanya merangkak seperti keluarga serigalanya.

Dina juga dikatakan gemar berbogel dan tidak begitu gemar disarungkan pakaian.

Dia sentiasa berasa terancam selepas kejadian ‘ahli keluarganya’ di bunuh di hadapan matanya dan dia secara paksa di bawa keluar dari tempat tinggal asalnya.

Menyedihkan apabila pada tahun 1895 di usia 29 tahun, Dina Sanichar dilaporkan telah meninggal dunia selepas menghidap batuk kering .

Kisah Dina ini tidak mempunyai saat indah bertemu wanita idamannya seperti dalam The Jungle Book. Dia juga tiada pengakhiran yang indah bergembira bersama keluarga serigalanya seperti filem Mowgli.

Dina sebaliknya mati berseorangan di dunia yang begitu asing baginya.

Sumber (1)(2)

Jom ‘Like’ dan ‘Follow’ Facebook & Twitter Amazingnara untuk mendapatkan berita sensasi dan terkini di seluruh dunia.

Comments

comments