Lima Beranak Sesak Nafas Terhidu Gas Dalam Kereta

Seperti yang kita pernah dengar sebelum ini, terdapat insiden dan kejadian individu yang tidur di dalam kereta ditemui mati akibat keracunan kerana terhidu gas karbon monoksida. Disebabkan itu, kita tidak disarankan untuk tidur di dalam kereta dengan enjin yang tidak dimatikan.

Ini kerana tanpa kita sedari ada kemungkinan terdapat masalah mekanikal pada kereta yang boleh menyebabkan berlakunya kebocoran ekzos kereta ke dalam kabin kenderaan ketika kita sedang tidur.

Tanpa disedari, gas yang tidak mempunyai bau dan rasa ini akan masuk menerusi saluran pernafasan dan seterusnya ke saluran darah. Gas beracun ini akan bercampur dengan hemoglobin iaitu bahagian sel darah merah yang membawa oksigen lalu membentuk carboxyhaemoglobin.

Advertisement

Apabila ini berlaku, darah tidak lagi mampu membawa oksigen dan kekurangan oksigen boleh menyebabkan sel serta tisu badan gagal berfungsi lalu mengakibatkan kematian.

Lima beranak termasuk tiga kanak-kanak sesak nafas selepas dipercayai terhidu gas karbon monoksida di dalam kereta di persimpangan lampu isyarat Jalan Seremban-Tampin, berhampiran Kawasan Perindustrian Ringan Senawang petang semalam.

Menurut sumber daripada Harian Metro, kereta Honda dinaiki mangsa itu dipercayai mengalami kebocoran gas ketika berhenti di lampu isyarat dalam kejadian pada pukul 6.30 petang itu.

Memetik kata-kata daripada Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Senawang iaitu Mohd Hidayat Basly berkenaan kejadian tersebut, pihaknya telah menerima panggilan pada pukul 6.35 petang daripada orang awam yang memaklumkan mengenai kejadian itu.

“Sebaik tiba, kami dapati lima individu berusia antara empat hingga 33 tahun mengalami sesak nafas dan pedih mata di dalam kereta yang berhenti di lampu isyarat itu,” kata Mohd Hidayat Basly

Lima beranak sesak nafas terhidu gas dalam kereta
Gambar ketika kejadian – Sumber Harian Metro

Berdasarkan siasatan, pihak bomba dan penyelamat mendapati berlaku kebocoran pada ekzos kereta sebelum gas karbon monoksida memasuki kenderaan itu.

Tambah beliau lagi, semua mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) Seremban untuk menerima rawatan lanjut.

Pasukan Hazmat membuat pengesanan gas di dalam kereta itu dan mendapati berlaku kebocoran gas, namun punca sebenar kejadian masih dalam siasatan.

Pendapat anda? Kongsi bersama kami di Facebook dan Telegram AmazingNara

SUMBERHarian Metro

Comments