Mangsa Kemalangan Jalan Raya Menceritakan Kisah Di Sebalik Kemalangan Untuk Beri Kesedaran Pada Pengguna

psa seatbelt

Ramai yang sedar dan tahu tentang kepentingan memakai tali pinggang keselamatan dalam mengelakkan risiko kecederaan yang tinggi dalam kemalangan jalan raya. Tetapi masih ada yang mengambil ringan tentang isu ini walaupun undang-undang lebih ketat dilaksanakan.

Di New Zealand, sebanyak 90 kes kematian berpunca dari tidak memakai tali pinggang keselamatan dicatatkan dalam kemalangan jalan raya. Manakala di Amerika Syarikat, jumlah yang lebih tinggi direkodkan iaitu 2,500 kes.

Dalam usaha untuk meningkatkan kesedaran tentang isu ini, New Zealand Transport Agency dan Clemenger BBDO Wellington bergantung pada mangsa-mangsa kemalangan ini untuk membantu memberikan kesedaran dengan menceritakan kisah mereka.

Kisah mangsa kemalangan

mangsa kemalangan

Advertisement

Pada 2 Ogos 2008, Dan Mason yang berusia 21 tahun waktu itu di dalam perjalanan pulang dari rumahnya selepas bekerja lewat malam ketika dia dilanggar oleh pemandu mabuk.

Dia mengalami kepatahan rahang, tulang rusuk dan beberapa keretakan. Kecederaannya berisiko menjadi lebih teruk tetapi tali pinggang keselamatan menyelamatkannya.

mangsa kemalangan

Semasa kejadian, Will Giles berada di persimpangan jalan ketika dia dilanggar dari belakang oleh pemandu lain. Impak daripada kemalangan itu telah memberikan trauma pada otaknya yang membuatkannya perlu belajar bercakap dan berjalan semula.

mangsa kemalangan

Dylan Chirnside dilanggar oleh sebuah kenderaan lain hanya beberapa kilometer dari rumahnya. Selain daripada kecederaan pada otak, salah satu tulang utama yang menghubungkan kepala dan tulang belakang turut patah. Dia mengambil masa selama satu tahun setengah untuk pulih sepenuhnya.

mangsa kemalangan

Pada 2017, bahagian tepi kenderaan Liam Bethell dilanggar oleh pemandu trak 200 meter dari rumahnya. Hampir kesemua tulang rusuknya patah dan dia juga mengalami pendarahan pada bahagian otak. Keadaan itu menyebabkan dia koma selama sepuluh hari dan dia mula sedar dari koma sehari sebelum anak perempuannya lahir.

Kempen Belt Up Live On

Kempen ini turut menggunakan mekap kesan khas untuk memberikan kesan yang lebih dramatik dalam mesej yang disampaikan. Matlamat utama kempen untuk mengubah persepsi tentang penggunaan tali pinggang keselamatan yang sering dianggap hanya untuk kanak-kanak dan warga emas.

Mangsa-mangsa kemalangan ini menceritakan bagaimana penggunaan tali pinggang keselamatan ini menyelamatkan mereka dari keadaan yang jauh lebih teruk. Poster kempen Belt Up Live On ini kemudian ditampal di lokasi tempat tinggal mereka sebagai satu peringatan.

Artikel berkaitan: Lagi Kes Kanak-Kanak Tercampak Keluar, Adakah Kanak-Kanak Boleh Menggunakan Tali Pinggang Keselamatan?

Comments

comments