Masih Tiada Kesedaran, Aktiviti Basikal Lajak Tetap Berlaku

Basikal lajak

Seperti yang kita tahu, kes kemalangan melibatkan remaja menunggang basikal lajak yang berlaku pada 18 Februari 2017 masih lagi hangat dan menjadi buah mulut orang ramai. Dalam kejadian pada pukul 3.20 pagi tersebut, lapan remaja maut selepas dilanggar sebuah kereta dipandu seorang jurujual wanita di Jalan Lingkaran Dalam, Johor Bahru.

Kelapan-lapan mangsa yang terlibat dalam kejadian tersebut ialah Mohamad Azrie Da­nish Zulkefli, 14; Muhamad Shahrul Izzwan Azzuraimie, 14; Muhammad Firdauz Danish Mohd Azhar, 16; Fauzan Halmijan, 13; Mohamad Azhar Amir, 16; Muhammad Harith Iskandar Abdullah, 14; Muhammad Shahrul Nizam Marudin, 14, dan Haizad Kasrin, 16.

Ahad lalu, Mahkamah Majistret Johor Bahru telah membebaskan dan melepaskan seorang jurujual wanita iaitu Sam Ke Ting yang berumur 26 tahun daripada pertuduhan memandu secara melulu atau berbahaya sehingga menyebabkan kematian lapan remaja berbasikal lajak terbabit.

Advertisement

Majistret Siti Hajar Ali membuat keputusan tersebut selepas mendapati pihak pendakwa gagal membuktikan terdapat kes melampaui keraguan yang munasabah terhadap tertuduh.

Sekumpulan remaja lelaki dikesan masih menunggang basikal lajak di jalan-jalan utama sekitar Johor Bahru.

Menurut laporan KOSMO, seorang pengguna jalan raya baru-baru ini sempat merakam gambar kanak-kanak tersebut yang menunggang basikal lajak dengan aksi merbahaya di Taman Tampoi, Johor Bahru.

Seorang peniaga, Mazlin Abu Bakar yang berumur 41 tahun berkata, dia dari Kluang kebetulan ada urusan kerja di Johor Bahru sempat merakam kejadian tersebut yang berlaku kira-kira pukul 2.30 petang.

Tambahnya lagi, dia dari Kluang dan pergi ke Johor Bahru untuk menghantar tempahan kopi kepada pelanggannya yang berada di situ. Apabila dia melalui kawasan Taman Tampoi jalan menghala ke Angsana Mall, dia ternampak dalam lapan hingga 12 remaja sedang berbasikal lajak.

“Saya tengok sendiri memang cara mereka tunggang basikal itu agak merbahaya, kalau orang tak nampak mungkin boleh berlaku kejadian yang tidak diingini,” kata Mazlin Abu Bakar.

Kejadian lapan remaja maut dilanggar kereta ­empat tahun lalu seolah-olah tidak memberi pengajaran terutama­nya kepada ibu bapa dan penjaga kanak-kanak tersebut.

Basikal lajak
Sekumpulan remaja berbasikal lajak di sekitar Taman Tampoi, Johor Bahru – Sumber KOSMO

Mazlin Abu Bakar yang juga merupakan penyanyi kepada sebuah kumpulan brass band berkata, ibu bapa sepatutnya memantau aktiviti anak-anak dan jangan terlalu ‘lepas’ mereka untuk keluar tanpa ambil tahu apa yang mereka lakukan.

“Kita tidak mahu kejadian empat tahun lalu berulang, bila jadi kejadian kemalangan maut macam itu mula lah masing-masing menuding jari salahkan orang lain,” kata Mazlin Abu Bakar lagi.

Tidak dinafikan, apa yang diperkatakan oleh Mazlin Abu Bakar itu sememangnya boleh kita akui kerana ia dilihat seperti remaja berbasikal lajak ini tidak serik dengan apa yang sudah berlaku. Ibu bapa seharusnya memainkan peranan penting untuk pastikan keselamatan anak-anak terjamin.

Pendapat anda? Kongsi bersama kami di Facebook dan Telegram AmazingNara

SUMBERKOSMO

Comments