Mayat Bayi Ditemui Hampir Reput, Polis Buru Kelibat Lelaki Dalam CCTV

Bayi ditemui dalam plastik

Saat ramai pasangan yang berusaha mendapatkan cahaya mata, bayi ini pula terpaksa menempuh detik hitam sehingga nafasnya yang terakhir.

Memetik laporan Kosmo, mayat seorang bayi perempuan yang masih bertali pusat itu ditemui dengan keadaannya hampir reput dalam kotak plastik di belakang sebuah premis perniagaan di Jalan Kluang. Kejam!

Bayi yang dipercayai baru dilahirkan itu ditemui pada pukul 6.40 petang oleh orang awam yang melalui kawasan berkenaan sebelum bertindak menghubungi pihaknya.

Menurut Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah, siasatan awal mendapati mangsa dipercayai telah ditinggalkan lebih 24 jam berdasarkan keadaannya yang mula mereput.

Setelah diteliti pada rakaman kamera litar tertutup (CCTV), kelibat seorang lelaki telah dikesan, dipercayai telah meletakkan kotak tersebut pada 27 April lalu. Tujuan dia berbuat demikian masih lagi sedang disiasat.

Menurut Ismail, bedah siasat akan dijalankan hari ini di Hospital Sultanah Nora Ismail bagi mengetahui punca kematian mangsa.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan cara membuang mayat secara sulit”

Polis memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan melaporkannya kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Batu Pahat di talian 07-436 3300.

Advertisement

SUMBER

Comments

comments

SOURCEKosmo