Misteri Pembunuhan Kejam Wanita Sarat Mengandung Di Jepun Pada Tahun 1988

22379

Kisah pembunuhan seorang wanita Jepun yang sarat mengandung dengan lehernya dijerut sebelum perutnya dibelah dan bayinya dikeluarkan ialah satu kisah pembunuhan misteri yang belum dirungkaikan sehingga ke hari ini walaupun sudah berlaku puluhan tahun lamanya.

Ia berlaku pada 18 Mac 1988 di satu apartmen di Tomita-cho, Nakagawa-ku, Nagoya, Aichi, Jepun. Semasa insiden ini berlaku, ada dua keluarga yang tinggal di tingkat bawah, manakala mangsa dan suaminya tinggal di apartmen di tingkat dua bernombor 202, di sebelah bilik  yang  tidak ada penyewa.

Semasa kejadian ini berlaku, wanita mengandung itu berusia 27 tahun, sedang menanti saat melahirkan anaknya bersama suaminya. Lelaki itu berusia 31 tahun dan merupakan seorang pekerja pejabat. Kehidupan mereka berdua dikatakan ‘biasa saja, tetapi penuh pengharapan untuk kehidupan yang bahagia’.

Pada pagi hari kejadian, si isteri menghantar suaminya keluar dari apartmen untuk bekerja seperti biasa.

Dia dijadualkan untuk melahirkan anak pada 13 Mac, lima hari sebelumnya. Tetapi dia tidak melahirkan anak pada tarikh yang dijangkakan,  jadi suaminya menelefon si isteri dari pejabat saja untuk mengetahui keadaannya.

Apabila si suami menelefon ke apartmennya pada jam 12.00 tengahari, tidak ada apa-apa yang ganjil.

Dia menelefon semula sekitar jam 6.50 petang, tetapi tiada siapa menjawab telefon.

Si suami memutuskan untuk pulang ke rumah, memikirkan yang ‘tak ada apa-apa yang pelik. Dia pasti ada di rumah jika saya balik.’

Dia sampai ke rumah kira-kira jam 7.40 malam. Pada masa itu, si suami perasan pintu depan rumahnya yang biasanya berkunci, tidak dikunci, dan lampu dalam apartmen tidak dipasang.

Walaupun merasa sedikit pelik, si suami masuk ke dalam bilik tidur untuk menukar pakaian, sebelum terdengar suara tangisan bayi dari bahagian ruang tamu.

Memikirkan bayinya telah lahir, dia memasang lampu di ruang tamu, hanya untuk mendapati isterinya terbaring kaku, dan bayi itu sedang menangis perlahan di bawah kaki ibunya.

Pada masa itu, disebabkan telefon di bahagian ruang makan dapur juga tidak ditemui, si suami bergegas keluar, meminjam telefon dari keluarga di tingkat satu, dan pada 7.43 malam menelefon Pusat Arahan Bomba Nagoya:

Saya perlukan ambulans sekarang!

Apabila ditemu bual oleh Kimie Machida pada tahun 1999, individu yang meminjamkan telefon kepada si suami berkata, lelaki itu kelihatan pucat lesi dan berkata ingin meminjam telefon kerana talian telefon rumahnya telah dipotong dan isterinya sedang melahirkan bayi.

Saya fikir, oh, bayi itu sudah dilahirkan. Saya langsung tidak tahu bahawa isterinya telah dibunuh.

Tiga orang krew kecemasan dari Pejabat Jabatan Bomba Cawangan Tomita menerima mesej ‘bayi sedang dilahirkan’. Jadi salah seorang krew tersebut membawa bersama forsep dan gunting untuk memutuskan tali pusat.

Apabila ambulans sampai ke tempat kejadian, mereka menemui seorang wanita yang maut dalam keadaan lehernya dijerut menggunakan wayar sejenis barangan elektrik di bahagian selatan apartmen, dengan perutnya terbelah.

Dia terbaring menelentang dengan keadaan tangannya terikat dan seluruh badannya berlumuran darah.

Semasa ditemui, wanita itu memakai gaun hamil berwarna biru, baju sejuk, seluar merah jambu dan sarung kaki hitam. Belahan pada perutnya dibuat menggunakan pisau tajam dari celiac plexus ke bawah (38 cm).

Fetus dikeluarkan dari perutnya dan digantikan dengan pemegang telefon, wayar telefon dan pemegang kunci Mickey Mouse.

Telefon tersebut ialah dari jenis kecil dengan butang yang boleh ditekan. Ia biasanya diletakkan di ruang tamu rumah mereka.

Bagaimanapun, selepas kejadian, ia ditemui di bahagian dapur apartmen dalam keadaan berlumuran darah, dipercayai kerana dibawa keluar oleh pekerja hospital semasa memindahkan jasad wanita itu ke hospital.

Pemegang kunci itu pula biasa digunakan oleh si suami untuk kunci keretanya.

Bilik pembunuhan berlaku diibaratkan seperti lautan darah. Si suami memberi komen pada masa itu:

Isteri saya meninggal dunia dalam keadaan ngeri, dalam cara yang tidak terjangkau dek akal.

Pegawai Polis untuk Pasukan Bergerak Penyiasatan Polis Aichi juga berkata mereka belum pernah terjumpa kes pembunuhan yang mengerikan seperti itu.

Berhampiran mayatnya ialah bayi lelaki yang tangisan pertamanya terdengar di tengah-tengah ‘lautan darah’.

Bayi itu juga mengalami luka-luka, bagaimanapun terdapat tiga laporan akhbar yang berbeza mengenai kesan luka pada badan bayi utu.

Yomiuri Shimbun-(19 Mac 1988)

  • Melaporkan bahawa terdapat tiga luka: di belakang kaki kiri, belakang paha kiri dan di kelangkang.

Chunichi Shimbun

  • Melaporkan terdapat empat luka termasuk di lutut kanan, punggung kiri dan bawah abdomen.

Mainichi Shimbun-(3 April 1988)

  • Edisi pagi Tokyo melaporkan bahawa luka terdapat di tiga tempat iaitu kaki kiri, punggung dan kelangkang.

Tambahan pula, menurut pengumuman polis semasa awal insiden dan laporan oleh Asahi Shimbun, apabila krew kecemasan tiba di tempat kejadian, tali pusat masih bersambung pada bayi itu. Bagaimanapun, satu sumber lain mendakwa tali pusat telah terpotong semasa mayat dan bayi itu ditemui.

Si isteri dan bayinya telah dibawa ke Hospital Nagoya Kasaikai, tetapi si isteri telah disahkan meninggal dunia. Bayi itu telah membesar dalam perut ibunya lebih dari tempoh sepatutnya dan sudah mampu bernafas sendiri semasa ditemui.

Bagaimanapun, keadaannya kritikal. Selain dari badannya luka-luka, yang dipercayai hasil potongan yang dibuat pembunuh semasa dia dikeluarkan dari rahim ibunya, tangisannya semakin lemah.

Bayi itu mengalami anemia diakibatkan trauma, dan menunjukkan simptom hypothermia dengan suhu badan di bawah 30 darjah.

Bayi itu kemudiannya diberi darah yang diambil dari datuknya (bapa kepada bapanya) dan diletakkan dalam inkubator semasa di hospital.

Setelah sepuluh hari, keajaiban berlaku di mana bayi itu sembuh selepas dibedah selama sejam. Bayi itu mempunyai berat 2.93 kg, dan Profesor dari Sekolah Perubatan Universiti Nagoya, Yutaka Tomoda yang menjalankan pembedahan itu memberitahu:

Ini kes yang jarang ditemui. Ibunya meninggal dunia setelah tali pusatnya dipotong. Dia ditemui awal, disebabkan itu sempat diselamatkan.

Teori-teori

Teori 1

Polis mengesyaki suami mangsa/orang terdekat

Siasatan khas Ibu Pejabat Polis Wilayah Aichi pada mulanya mengesyaki bahawa si suami ialah pembunuh wanita itu berdasarkan fakta kes, bagaimanapun dia mempunyai alibi kukuh kerana terdapat saksi menyaksikan dia bekerja di pejabat pada waktu isterinya dianggarkan dibunuh pada kira-kira jam 3.00 petang.

Sebaik saja tiba di rumah, si suami menyedari ada yang pelik ,tetapi tidak memastikan keselamatan isterinya, sebaliknya menukar pakaian terlebih dahulu.

Pada hari itu, pintu yang biasanya dikunci, dibuka dengan mudah dan lampu tidak terpasang.

Bagaimanapun, selepas itu, siasatan polis mendapati rakan kepada wanita mengandung itu, juga seorang perempuan, telah datang melawatnya sekitar 1.50 petang hingga 3.00 petang hari kejadian dan dia mungkin telah terlupa mengunci pintu setelah menghantar rakannya keluar rumah.

Di hadapan pihak media, si suami berkata:

Isteri saya suka minum wain. Jadi mohon tuangkan wain untuknya.

Sikap si suami ini dianggap ganjil kerana polis merasakan dia ‘sangat tenang’ ketika mengujarkannya.

Polis terus menganggap pembunuhan ini dilakukan oleh seseorang yang dikenali oleh mangsa, bagaimanapun, melalui siasatan yang lebih rapi, polis mendapat tahu mengenai seorang lelaki tidak dikenali yang dilihat berlegar di sekitar bangunan apartmen tersebut oleh beberapa jiran mangsa sehari sebelumnya.

Teori 2

Pembunuh profesional

Satu lagi  teori ialah, pembunuh itu seorang profesional kerana polis tidak menemui sebarang bukti. Cap jari telah dibersihkan, malah terdapat kesan darah pada sinki dapur, menandakan pembunuh telah membasuh tangannya sebelum menghilangkan diri. Yang ditemui hanya kesan tapak kasut bersaiz 25 cm di tempat pembunuhan (saiz US 7 dan UK 6).

Juga terdapat teori bahawa si pembunuh seorang yang belajar dalam bidang perubatan tetapi teori ini dibuktikan tidak benar kerana belahan pada perut mangsa dibuat terbalik berbanding belahan c-section yang biasa dibuat oleh seorang profesional.

Suspek

Mangsa memberitahu rakan yang melawatnya pada hari kejadian bahawa bilik di sebelah apartmennya ialah bilik kosong, tetapi dia risau kerana terlihat seseorang masuk dan keluar dari bilik itu.

Juga, pada hari kejadian, seorang lelaki yang mencurigakan, usianya dianggarkan 30-an telah melawat keluarga di tingkat bawah dan bertanya:

Kenal tak Encik Nakamura?

Seterusnya, juga hasil siasatan lanjut, sekitar 2.30 petang hari kejadian, bunyi enjin kenderaan yang dihidupkan boleh didengari di lot apartmen tersebut.

Dua orang budak lelaki pelajar sekolah rendah (darjah tiga dan lima) memberi testimoni bahawa pada jam 4.30 petang hari kejadian, seorang lelaki mencurigakan yang tidak dikenali merayau di kawasan apartmen itu di bahagian utara.

Lelaki itu dikatakan berusia 20-an, dan mempunyai ketinggian kira-kira 165 cm.

Dia memakai baju pinafor hitam, tidak bercermin mata dan mengenakan topi seakan beret berwarna perang muda. Ketika berjalan, kedua-dua tangannya dimasukkan ke dalam poket, dan wajahnya dilindungi kolar kot yang dipakainya.

Tambahan pula, kira-kira jam 7.00 malam hari sebelum kejadian, ketika balik dari sekolah, seorang pelajar darjah lima yang lain terlihat seorang lelaki dengan ciri-ciri pakaian yang sama, berlegar-legar selama kira-kira 10 minit di bahagian barat apartmen itu.

Yang Tinggal

Malangnya, sehingga kini, pembunuh wanita malang itu tidak dapat dikenal pasti. Kes ini masih satu misteri yang belum berjaya dirungkaikan walaupun telah lebih 30 tahun berlalu.

Bayi yang terselamat dan bapanya telah berpindah ke Hawaii tidak lama selepas kejadian tersebut dan terus menetap di luar Jepun.

Yang tinggal, hanyalah apartmen yang penah menjadi lautan darah ketika pembunuhan itu berlaku, dan tiada siapa menghuni apartmen tersebut kini yang tinggal kosong, kerana kejadian-kejadian paranormal yang berlaku setelah pembunuhan misteri itu. – amazingnara.com

Sumber: Ja Wiki, Hiding From Japanese Ghost, Naver

Comments

comments