Misteri Penemuan Separuh Mayat Wanita Di Stesen Pam Air Jepun Pada Tahun 1988

10289

Jepun dianggap sebuah negara maju yang selamat, dengan kadar peratusan kejadian jenayah yang rendah. Bagaimanapun, terdapat beberapa kejadian jenayah kejam berlaku di situ, yang kadang kala sukar diterima akal.

Pada 9 September 1988, mayat seorang wanita tanpa pakaian ditemui terapung di Stesen Pam Air Shinozaki di  Edogawa-ku, Tokyo. Ia ditemui di besin penapis pasir nombor empat, tingkat bawah tanah kedua.

Bagaimanapun,  hanya separuh mayat itu ditemui. Ini bermakna mayat itu ialah mayat seorang wanita yang dipotong di bahagian pinggang.

Potongan itu kemas, jadi wanita itu dipercayai telah dibelah di pinggang dengan sejenis senjata dipercayai pedang yang sangat tajam.

Ia ditemui oleh staf stesen pam air itu yang pada mulanya menyangkakan mayat itu boneka pakaian. Dia kemudian menghubungi polis walaupun tidak berapa pasti dengan penemuannya itu.

Polis metropolitan Tokyo meneruskan dengan satu siasatan mengenai identiti sebenar wanita itu walaupun tidak mempunyai sebarang bayangan mahupun bukti.

Besin nombor empat, di mana mayat itu ditemui bersambung dengan sebatang sungai.

Polis memutuskan untuk menyiasat di sungai jika terdapat sebarang bahan bukti lain atau mayat wanita itu di bahagian pinggang ke bawah, namun tidak menemui apa-apa yang boleh membantu siasatan.

Maklumat mengenai mangsa

Walaupun tidak mempunyai mayat yang sepenuhnya, polis terpaksa bekerja menggunakan maklumat yang ada.

Mangsa ialah seorang wanita, dipercayai berbangsa Jepun.

Umurnya dianggarkan kira-kira 17 hingga 30 tahun. Ketinggian mayat itu dianggarkan 160 cm, walau bagaimanapun disebabkan bahagian kaki tidak ada, polis tidak dapat memastikan ketinggiannya dengan tepat.

Wanita ini didapati menindik telinga dan kuku di jari-jemarinya dicat warna merah jambu.

Selain itu, tiada maklumat lain mengenai wanita ini.

Mayat ditemui dalam keadaan sudah kembang, justeru cap jarinya tidak dapat digunakan untuk mengenal pasti identitinya.

Keputusan siasatan

Polis telah menyebarluaskan imej lakaran wajah mangsa melalui dada akhbar dan berita televisyen, meminta orang ramai memberikan apa jua maklumat yang boleh membantu polis mengenal pasti identiti mangsa.

Namun begitu, tiada siapa tampil mengatakan kenal wanita itu, dan identitinya masih misteri sehingga ke hari ini.

Statut had masa

Di Jepun, terdapat satu akta iaitu Statut Had Masa, di mana penyiasatan dan pendakwaan mengenai kes-jes jenayah perlu dilaksanakan dalam masa 15 tahun dari tarikh pembunuhan.

Disebabkan tiada sebarang bayangan mahupun bukti, malah identiti mangsa tidak dapat dikenal pasti, kes ini sudah luput pada tahun 2003 dan sudah ditutup.

Bagaimanapun, imej lakaran wajah mangsa pernah dimuat naik di laman sesawang Polis Metropolitan Tokyo.

Penulis telah cuba memperbaiki lakaran tersebut seperti di bawah:

Stesen pam air Shinozaki

Stesen ini pernah dibom oleh Tentera Imperialis Jepun sekitar Perang Dunia Ke-II.

Pada tahun 2002, satu lagi mayat ditemui di kawasan ini. Staf stesen terlihat satu teksi berada di premis stesen dalam keadaan lampu kecemasan dipasangkan. Mereka kemudiannya menelefon polis.

Setelah datang, polis menemui mayat seorang lelaki, ketika itu berusia 54 tahun bernama Yusuke Yamaguchi di bahagian bonet kereta, dengan 10 kesan tikaman di bahagian dada dan belakang.

Dompet lelaki itu didapati lesap. Polis mempercayai Yusuke, yang merupakan pemandu teksi itu dibunuh dalam satu kes samun.

Pembunuhnya berjaya melarikan diri dan tidak dapat dikesan sehingga ke hari ini.

Disebabkan dua kes ini, stesen itu kini ditutup dari orang ramai.

Teori-teori

Ada mendakwa, disebabkan tiada siapa tampil dan mengenali wanita itu, dia besar kemungkinan seorang gelandangan mahupun pekerja seks yang tidak dipedulikan ahli keluarganya. Namun ini hanyalah teori.

Teknologi DNA pada tahun 1988 masih baru di Amerika Syarikat, apatah lagi di Jepun. Satu cara yang boleh dilakukan ialah,  sekiranya DNA wanita ini sempat diambil, ia boleh dipadankan dengan bank DNA nasional untuk mengenal pasti saudara maranya.

Namun tidak dapat dipastikan sama ada DNA wanita ini disimpan. Sukar untuk mendapatkan DNA dari tempat pengebumian kerana mayat di Jepun biasanya dibakar sehingga menjadi abu dan analisis DNA tidak dapat dibuat ke atas abu mayat (semua maklumat sudah musnah).

Dan disebabkan Statut Had Masa, penyiasatan kes ini tidak akan dibuka semula melainkan Statut itu dihapuskan.

Disebabkan itu, identiti sebenar wanita itu mungkin tidak dapat dikenal pasti sehingga bila-bila. – amazingnara.com

Sumber: Ja Wiki

Comments

comments