“Nak Jadi Ahli Bomba” – Kaki Membengkak Sejak Lahir, Adik Lutfi Tak Putus Harap Untuk Sembuh

Adik Lutfi

Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Disaat  kanak-kanak sebayanya boleh berjalan dan berlari bebas, anak kecil ini pula perlu berhadapan dengan penyakit tanpa amaran.

Usianya baru sahaja mencecah tiga tahun, namun begitu berat penderitaan yang ditanggung gara-gara sebelah kakinya membengkak sejak lahir lagi.

Semakin adik ini membesar, kaki insan kecil yang dikenali sebagai Muhammad Lutfi Aidin Abdul Jalil ini semakin membesar dari paras pangkal paha hingga betis sekaligus membataskan pergerakannya.

Kisah coretan adik ini turut dikongsikan di laman Facebook oleh seorang aktivis sosial dan kebajikan, Natipah Abu. Beliau yang sudah berkecimpung dalam misi kemanusiaan selama 10 tahun ini turut mengakui turut tersentuh dek titipan ibu Lutfi di ruang DMnya baru-baru ini.

Advertisement

“Kak Pah rasa kesian melihat anak sekecil ini menanggung sakit. Kak Pah rasa boleh usahakan… selebihnya kita berserah kepada Allah”

Lebih mengaggumkan, Adik Muhammad Lutfi ini menyimpan cita-cita untuk menjadi seorang anggota bomba.

Menurut wanita ini, Muhammad Lutfi menghidap Klippel Trenauney Weber Syndrome iaitu masalah yang berkaitan dengan saluran darah.

Impian Nak Jadi Bomba

“Kasihan… badannya semakin kurus. Bila ada tetamu yang tidak dikenali datang, dia akan merangkak masuk ke dalam bilik kerana malu”

Lapor wanita ini kepada Mstar, saban hari anak kecil itu akan bertanya adakah kakinya akan sembuh dan bila dia boleh mencapai impian untuk menjadi seorang ahli bomba.

Lebih menyedihkan apabila keadaan keluarga tersebut yang hanya bergantung sepenuhnya kepada pendapatan si bapa sebagai pengusaha warung makanan menjadi kekangan utama dalam usaha untuk mencari dana mengubati penyakit yang dideritai si kecil.

Pada waktu yang sama, pasangan tersebut juga mempunyai tiga anak lain yang masih kecil dan berusia dalam lingkungan empat tahun hingga sembilan tahun. Pastinya situasi ini menyukarkan suami isteri itu untuk melengkapkan segalanya dengan mudah.

“Melihatkan keadaan adik Lutfi, Kak Pah membuat keputusan untuk tidak menunggu lagi. Alhamdulillah, setelah berbincang dengan Dr Syariz Sehat, Pakar Bedah Kanak-Kanak di Hospital Avisena dan Prince Court Medical Centre, kami bersetuju adik Lutfi dibawa ke HUKM dengan segera”

“Kes adik Lutfi akan dikendalikan oleh Prof Dr Abdul Halim Abdul Rashid, Pakar Tulang Kanak-Kanak dan pasukannya. Beliau sangat berpengalaman dengan kes sebegini”

Berkat doa semua, kanak-kanak tersebut kini sudah pun berada di HUKM, namun rawatan masih belum bermula dan perbincangan untuk prosedur seterusnya sedang dilakukan.

“Sama-samalah kita doakan agar kumpulan pakar perubatan kita dapat menyelamatkan adik Lutfi dan dia akan kembali sembuh serta membesar dengan sihat”

Semoga ada sinar pelangi buat anak kecil ini ya. Aamiin.

SUMBER

Comments

comments