Oymyakon Di Rusia Merupakan Perkampungan Paling Sejuk Di Dunia

59

Oymyakon merupakan sebuah kawasan perkampungan terpencil di Rusia dimana ia merupakan penempatan paling sejuk di dunia dengan suhu mencecah -71 ° Celsius (C) dan pernah mencatat rekod serendah –71.2 darjah Celcius pada tahun 1924.

Keadaan cuaca sejuk ekstrem itu menyebabkan pesawat tidak dapat mendarat di kawasan tersebut pada musim sejuk.

Perkampungan Oymyakon yang terletak di timur laut Rusia itu juga dikenali sebagai Kutub Beku dengan suhu purata sepanjang Januari berada pada takat – 50°C. Oymyakon sebenarnya bermaksud ‘air yang tidak membeku’ ia diambil semperna kewujudan mata air panas yang ditemui dikawasan tersebut suatu ketika dahulu.

Direkodkan jumlah populasi penduduk yang tinggal di Oymyakon hanyalah sekitar 500 orang sahaja. Tidak banyak hidupan terdapat di situ. Selain beberapa spesies ikan air sejuk, penduduknya banyak bergantung kepada makanan daripada daging rusa kutub dan daging kuda sebagai sumber makanan. Namun, mereka tidak pernah menderita kekurangan nutrien.

Bagi menyara hidup pula, penduduk di sini kebanyakkannya melakukan pekerjaan seperti memburu haiwan, menjadi nelayan dan penternak lembu.

Penduduk tempatan juga terpaksa menghidupkan enjin kenderaan mereka sepanjang hari untuk memastikan enjin berada dalam keadaan baik kerana jika ianya membeku, enjin tersebut dikhuatiri rosak.

Pada musim sejuk, waktu siang di Oymyakon hanya 3 jam sahaja dan pada musim panas pula waktu siang boleh berlaku selama 21 jam.

Walaupun Oymyakon merupakan antara kawasan yang paling ekstrem di dunia, Oymyakon sering menerima kunjungan dari pelancong asing. Ini kerana mereka ingin merasai sendiri pengalaman menjalani kehidupan dalam keadaan sejuk yang melampau. Tambahan pula ia sudah diiktiraf sebagai perkampungan paling sejuk di dunia.

Comments

comments