“Payung Patah Sebab Angin Kuat”, Rakyat Malaysia Kongsi Pengalaman Berdepan Taufan Hagibis

747

Taufan Hagibis yang melanda Jepun pada hari Sabtu lalu kini mencatatkan jumlah kematian mencecah 35 orang setakat ini. Ini merupakan antara taufan paling ganas dengan membawa angin dengan kelajuan sehingga 216 kilometer sejam.

Lebih seratus ribu penyelamat dan pasukan tentera diarahkan bagi tugas menyelamat mangsa yang terperangkap akibat tanah runtuh dan hujan lebat. Nur Hafizah Khusni, antara rakyat Malaysia yang menetap di sana turut berkongsikan pengalamannya.

“Alhamdulillah rumah saya menyewa ini kukuh dan tidak terjejas, tetapi bunyi angin di luar kuat dan menyeramkan.”

taufan hagibis
Kredit: WSJ

Kerajaan Jepun menyarankan mereka untuk bersiap sedia dengan membeli stok makanan kerana hari Sabtu sudah tidak boleh keluar dari rumah.

Menurutnya juga, penting untuk sentiasa mendapatkan maklumat terkini daripada sumber yang dipercayai. Untuk mempersiapkan diri dengan awal, dia sentiasa menonton berita sejak Rabu lalu.

taufan hagibis
Kredit: WSJ
taufan hagibis
Kredit: WSJ

Mereka mendapat amaran peringkat tiga pada 1 petang, diikuti amaran keempat tiga jam kemudian sehingga amaran peringkat lima pada 8 malam. Tiada barangan rumah yang terbang kerana dia mengikut saranan pihak berkuasa supaya memasukkan semua barang di rumah.

“Tempat saya tidak terputus bekalan elektrik dan air, cuma ada dapat pengumuman supaya penduduk berjimat menggunakan air tapi ada sesetengah tempat sudah terputus bekalan elektrik.”

taufan habigis
Kredit: WSJ

Pengarang Berita Gaya Hidup (Digital dan Rencana) akhbar New Straits Times (NST), Intan Maizura Ahmad Kamal yang kini berada di Tokyo juga berkongsikan pengalaman yang sama.

Bangunan hotel tempatnya menginap di Shinagawa berbunyi seperti hendak retak dan deruan angin juga begitu menakutkan.

“Dari tingkap bilik, saya sempat melihat angin taufan berpusing-pusing tanpa arah, namun kebanyakan bangunan masih tidak terputus bekalan elektrik.” 

taufan hagibis
Kredit: WSJ

Dalam situasi kecemasan ini, kedai serbaneka menjadi tumpuan dan mereka membeli makanan dan minuman sebagai persediaan sekiranya kehabisan makanan. Mereka juga dinasihatkan supaya tidak keluar dari hotel dan perlu berlindung di dalam bangunan.

Seorang lagi rakyat Malaysia iaitu Ahmad Fikri Aziz berkongsikan pihak berkuasa menaikkan tahap amaran berikutan Taufan Hagibis dari tahap tiga kepada empat.

Disebabkan itu, dia membawa isteri dan anaknya mengosongkan rumah dan berteduh di tempat perlindungan sementara yang berhampiran dengan rumahnya.

“Angin memang sangat kuat sehingga payung yang kami guna patah dan dibawa angin. Malah, kami terpaksa membawa kereta dengan perlahan ketika menuju di pusat itu.”

taufan hagibis
Kredit: WSJ

Dia juga boleh merasakan bangunan di pusat komuniti itu bergegar diselangi dengan bunyi angin yang ‘menakutkan’ akibat daripada taufan itu.

Setakat ini, kerja menyelamat masih lagi giat dijalankan untuk mencari mangsa yang terperangkap. Kerja-kerja pembersihan juga turut sama dilakukan oleh rakyat di sana.

Sumber: Harian Metro

Artikel berkaitan: Kucing Di Pulau Okishima Selamat Dari Taufan Hagibis

Comments

comments