Pelancaran Iriz Dan Pesona 2019 Lengkap Dengan Teknologi Kereta Internet ‘Boleh Bercakap’

Proton Holdings Bhd berharap pelancaran model Iriz dan Persona yang dipertingkat pada tahun 2019 akan menjadi satu lagi penggalak ke arah pemulihan yang diperlukannya.

Pengerusi Datuk Seri Syed Faisal Albar berkata kedua-dua model itu ditawarkan pada harga berpatutan dengan 300 pembaharuan dilakukan dalam usaha menambah baik model tersebut.

Kami melengkapkannya dengan unit stereo pintar (IHU) yang popular, menjadikan Iriz and Persona 2019 sebagai edisi terbaharu dalam rangkaian ‘kereta yang boleh bercakap’.

Tiada kereta lain dalam segmen sama dan pada kategori harga itu menawarkan fungsi ini. Justeru itu, kami berbangga merintis teknologi kereta Internet yang bertujuan agar menjadi lebih berpatutan untuk segmen pasaran ini.

Harga atas jalan Iriz 2019 ditetapkan antara RM36,700 dan RM50,700 bagi Semenanjung Malaysia dan RM38,700 hingga RM52,700 untuk Sabah dan Sarawak.

Advertisement

Sementara itu, Persona 2019 berharga antara RM42,600 dan RM54,600 bagi Semenanjung Malaysia dan RM44,600 hingga RM56,600 untuk Sabah dan Sarawak.

Tersedia bagi varian Premium 1.6 CVT, sistem Iriz dan Persona menggunakan eSIM untuk kekal terhubung dengan Internet.

Sistem ini juga menawarkan aplikasi untuk penstriman muzik, navigasi dalam talian dan pengecaman suara yang diakses melalui skrin sentuh tujuh inci yang menampilkan paparan warna penuh dan memori dalaman 16GB.

Bagi kemudahan tambahan, sistem ini menawarkan fungsi skrin ‘mirroring’ dengan telefon pintar Android.

Proton juga menyediakan data Internet lima tahun percuma (12GB/tahun), cukai jalan percuma selama dua tahun untuk 1,000 unit pertama yang berdaftar selain buruh percuma bagi tiga temu janji servis berjadual.

Pembeli kedua-dua model itu juga ditawarkan kadar pembiayaan lebih rendah bermula daripada 2.93 peratus di samping pakej perlindungan insurans yang menarik.

Sumber: Bernama

Comments

comments