Pelancong Malaysia Perlu Patuhi Peraturan Baru Ini Bila Nak Masuk Ke Thailand

106

“Thailand akan melaksanakan peraturan baru untuk memasuki negara itu di pintu masuk sempadan negara itu dan Malaysia mulai 1 Okt ini”, ujar Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla Mohd Afandi Abu Bakar.

Beliau mengingatkan rakyat Malaysia yang hendak memasuki Thailand supaya memahami dan mematuhi peraturan baharu itu serta menggunakan dokumen perjalanan yang sah.

Katanya, antara peraturan itu adalah perlu mengisytiharkan kenderaan serta penumpangnya dengan mengisi borang masuk kepada Jabatan Imigresen dan Kastam Thailand.

“Pemandu yang gagal mengisytiharkan kenderaan akan dikenakan denda sehingga empat atau lima kali ganda nilai kenderaan atau kenderaan ditahan dan penjara selama dua tahun,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata pihaknya telah meminta maklumat lengkap berhubung peraturan baharu itu daripada pihak berkuasa Thailand dan akan dimuat naik dalam laman web Kementerian Luar apabila memperolehinya.

Katanya walaupun ada antara syarat kemasukan tersebut telah lama dipraktikkan tetapi difahamkan perubahan dibuat bagi memudah dan memperkemas daftar masuk rakyat asing ke Thailand oleh pihak berkuasa negara itu.

Mohd Afandi berkata sepanjang tahun ini sehingga Ogos lepas cuma dua kes kenderaan milik rakyat Malaysia ditahan oleh pihak berkuasa Thailand kerana melanggar peraturan masuk.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata kira-kira 250 rakyat Malaysia sedang menjalani hukuman penjara di selatan Thailand membabitkan pelbagai kesalahan.

Sumber : Astro Awani

Comments

comments