Penyelia Kedai Emas Ditembak Mati

2771

Seorang penyelia kedai emas di sebuah pasar raya, di sini, maut ditembak penjenayah yang menyamun premis terbabit, malam ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor SAC Fadzil Ahmat berkata, dalam kejadian pada 7.13 malam itu, mangsa berusia 28 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat ditembak di bahagian dada.

Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi, empat penjenayah dikenal pasti memasuki perkarangan pasar raya berkenaan dengan menaiki dua motosikal.

Tiga daripada suspek yang memakai topi keledar tutup muka penuh serta vest pantul cahaya masuk ke dalam pasar raya itu dan ke kedai emas berkenaan manakala seorang lagi suspek menunggu di luar.

Seorang daripada suspek melepaskan satu das tembakan yang mengenai dada mangsa selepas dikatakan tidak berpuas hati dengan penyelia kedai emas berkenaan yang tidak mengendahkan arahan mereka.

Beliau berkata ketika kejadian, mangsa yang berasal dari Perak itu berada di dalam premis berkenaan bersama seorang lagi pekerja wanita.

Fadzil menambah, kesemua suspek sempat melarikan diri bersama empat dulang barang kemas.

Kejadian itu berlaku pantas iaitu kira-kira dua hingga tiga minit sahaja. Siasatan awal mendapati suspek itu menggunakan pistol semi auto berdasarkan penemuan satu kelongsong peluru di lokasi.

Usaha memburu suspek sedang giat dijalankan.

Comments

comments