Perbicaraan Pembunuhan Dua Pelancong Skandinavia Dimulakan Di Maghribi

3229

24 orang telah dibicarakan di Maghribi kerana membunuh dua orang pelancong Skandinavia pada Disember lepas.

Kepala Louisa Vesterager Jespersen, 24, dari Denmark, dan Maren Ueland, 28, dari Norway, ditemui terpisah dari badan mereka di pergunungan High Atlas.

Antara mereka yang dibicarakan berdepan dengan pertuduhan menubuhkan kumpulan pengganas.

Tiga dari mereka dituduh mengikrarkan kesetiaan pada kumpulan Islamic State (IS) dan melakukan pembunuhan itu. Mereka berdepan  hukuman mati.

Kesemua defendan hadir di mahkamah di Salé, tenggara Maghribi, pada Khamis. Perbicaraan ditangguhkan sehingga tarikh terkemudian bulan ini.

Maghribi telah mengurangkan jumlah hukuman mati dengan drastik sejak 1993, tetapi masih ada beberapa kes di mana hukuman mati dijatuhkan. Terdapat petisyen dalam talian bagi menuntut mereka yang disabitkan bersalah membunuh dua wanita itu untuk dihukum mati.

Ahli keluarga mangsa dan peguam mereka tidak akan menghadiri perbicaraan di Maghribi, menurut agensi berita AFP.

Apa yang kita tahu mengenai kes ini?

Mayat mangsa ditemui di kawasan terpencil berdekatan satu tempat tarikan pelancong di pergunungan High Atlas pada 17 Disember.

Satu video menunjukkan leher salah seorang mangsa dikelar sehingga putus disebarkan dengan meluas di media sosial oleh penyokong IS.

Polis Norway berkata, video tersebut hampir pasti tulen. Di Denmark, 14 orang didakwa kerana disyaki menyebarkan rakaman video tersebut.

Polis Maghribi berkata, suspek telah mengikrarkan kesetiaan pada IS, walaupun mereka percaya suspek tidak pernah berhubung dengan kumpulan ‘jihad’ tersebut di Syria atau Iraq.

Penyiasat mengesyaki Abdessamad Ejjoud, seorang peniaga jalanan berusia 25 tahun, ialah ketua kumpulan pengganas itu.

Younes Ouaziyad, 27, dan Rachid Afatti, 33, juga dituduh terbabit dalam pembunuhan itu. Defendan-defendan lain juga berdepan perbicaraan kerana pembabitan dengan suspek.

Rachid Afatti (kiri), Younes Ouaziyad (tengah), dan Abdessamad Ejjoud, tiga suspek utama

Seorang warganegara berganda Switzerland-Sepanyol, Kevin Zoller Guervos, dilaporkan antara yang hadir di mahkamah. Dia ditahan tahun lepas di Marrakesh kerana dikatakan cuba merekrut rakyat Maghribi untuk melaksanakan plot pengganas.

Bulan lepas, salah seorang warganegara Switzerland dibicarakan secara berasingan dan dijatuhkan hukuman penjara 10 tahun atas beberapa pertuduhan, termasuk menubuhkan kumpulan pengganas.

Siapakah mangsa?

Jespersen dan Ueland belajar kursus aktiviti luar di  Universiti Southeastern Norway. Mereka berdua tinggal di apartmen yang sama dan sedang berlatih menjadi pemandu pelancong.

Mereka berdua datang ke Maghribi untuk percutian selama sebulan pada 9 Disember dan mengembara ke lereng gunung Toubkal, puncak tertinggi di Afrika Utara, 10 km dari Imlil.

Mayat ditemui dalam khemah mereka.

Kedua-dua wanita itu telah mengambil langkah-langkah keselamatan yang perlu sebelum memulakan percutian mereka, kata ibu Ueland, tahun lepas. – amazingnara.com via BBC.

 

Comments

comments