Petani Mengaku Tidak Bersalah Miliki Pistol Dan 11 Butir Peluru

Mohd Faeez ketika dibawa pegawai polis ke mahkamah berkaitan pertuduhan memiliki pistol.

Seorang individu yang juga seorang petani mengaku tidak bersalah di Mahkamah Seksyen Kota Bharu atas pertuduhan memiliki sepucuk pistol dan 11 butir peluru.

Mohd Faeez Awang, 29 mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.

Tertuduh didakwa memiliki sepucuk pistol semi auto Mod 213 9MM Tara No Siri 108791 dan satu kelopak pistol warna perak tanpa kebenaran yang sah. Pertuduhan kedua, tertuduh memiliki 11 butir peluru jenis 9MM Luger PMC tanpa kebenaran yang sah.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan sebatan tidak kurang enam kali jika sabit kesalahan.

Advertisement

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Kesalahan itu dilakukan di Kampung Kelubi, Jalan Kota Bharu di Pasir Puteh sekitar jam 9.45 malam pada 29 Mei lalu.

Peguam bela, Ahmad Adha Amir Yasser memohon tertuduh yang masih bujang itu diikat jamin kerana lelaki itu adalah anak sulung daripada lapan adik beradik dan membantu bapanya di kebun sayur-sayuran.

“Bapanya kerja sebagai petani dengan pendapatan antara RM800 hingga RM1,000. Dengan wang itu juga diguna untuk membiayai perubatan ayah dan ibunya yang sakit”.

Mohd Faeez ketika dibawa pegawai polis ke mahkamah berkaitan pertuduhan memiliki pistol.

“Saya memohon supaya jaminan yang rendah ditetapkan kerana ini adalah kes pertama tertuduh. Selain itu, pengalaman anak guam saya yang berada dalam tahanan polis selama 11 hari sudah memberi pengajaran kepadanya”.

Sebarang ikat jamin tidak dibenarkan oleh mahkamah dan tarikh sebutan semula kes pada 13 Julai depan.

SUMBER

Comments

comments