PKPB: JAIS Benarkan Akad Nikah Di Selangor Mulai 2 November Ini

Umum mengetahui, pasangan yang bakal berkahwin di Kuala Lumpur dan Putrajaya kini telah dibenarkan ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan.

Namun, segalanya perlu mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan.

Terbaru, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) kini memaklumkan, upacara akad nikah di Pejabat Agama Daerah (PAID) di seluruh negeri Selangor telah dibenarkan mulai 2 November 2020.

Dedah pihaknya, upacara akad nikah tersebut akan dilakukan di Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) di seluruh negeri Selangor dan terhad dengan kehadiran dan jumlah temu janji pada satu-satu masa.

Advertisement

Untuk rekod, bakal pengantin juga perlu mematuh segala syarat yang telah ditetapkan seperti yang berikut:

1. Pemohon lelaki dan perempuan sudah mendapat Kebenaran Berkahwin mengikut Seksyen 17 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) Tahun 2003 dari PAID.

2. Hanya tiga orang dibenarkan hadir upacara akad nikah iaitu pengantin lelaki, pengantin perempuan dan wali.

3. Hanya lima akad nikah dibenarkan dalam masa satu hari iaitu pada hari Isnin hingga Jumaat (hari bekerja) bermula 9 pagi hingga 4 petang.

4. Kebenaran ini diberi kepada pasangan dalam Selangor atau pihak lelaki atau pihak perempuan dari luar Selangor dengan tanggungjawab pihak-pihak mendapatkan kebenaran pergerakan rentas daerah atau negeri jika diperlukan oleh pihak berkuasa.

5. Cadangan upacara akad nikah yang mendapat kebenaran dari Ketua Pendaftar Nikah, Cerai Dan Rujuk Orang Islam Negeri Selangor sahaja akan diterima untuk dilaksanakan di PAID.

Sekadar informasi, temu janji kini boleh dibuat dengan menghubungi Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) yang berdekatan bagi sebarang tindakan lanjut.

Comments