Polis Siasat Video Tular Berkaitan ‘Code Black’

video code black

Pihak polis telah membuka kertas siasatan berhubung video tular yang dimuat naik oleh seorang individu yang dipercayai mempertikaikan skim pelantikan doktor kontrak dalam perkhidmatan awam.

Video itu ditularkan dengan durasi enam minit 49 saat bertajuk ‘Malaysian doctors on strike/mogok? 1st-12th July 2021 Code Black’.

Menerusi laporan Berita Harian, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan mengatakan hasil siasatan mendapati individu yang memperkenalkan diri sebagai Dr Han @ Gigi Hang Yang turut menyeru orang ramai untuk mengikut serta dalam mogok berkenaan.

Bukan itu saja, individu berkenaan juga menyeru supaya untuk menukar profil media sosial dengan warna hitam atau monokrom dari 1 hingga 12 Julai lalu serta memuat naik gambar dengan hashtag #SaveMYcontractHCW, #CodeBlackMY, dan #BlackMondayMY.

Advertisement

Kesemua tindakan itu dinamakan ‘code black’ dipercayai membawa maksud keadaan darurat di hospital akibat ancaman kepada petugas.

“Tindakan itu dilakukan bertujuan untuk memberi sokongan kepada pegawai perubatan kontrak untuk menuntut diberi keistimewaan seperti pegawai perubatan berstatus tetap”

Individu berkenaan turut mendakwa sistem yang diamalkan kerajaan boleh menjejaskan kehidupan rakyat Malaysia dan perkhidmatan kesihatan.

Abd Jalil berkata dalam satu kenyataan, kertas siasatan akan dilengkapkan dengan kadar segera dan dirujuk ke Jabatan Peguam Negara.

Siasatan mengikut Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan (Akta 574) kerana dengan niat mengapikan mana-mana golongan melakukan kesalahan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 (Akta 588) kerana menyalahgunakan perkhidmatan rangkaian tidak wajar.

Pada 13 Julai, Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Prof Datuk Dr M Subramaniam dilaporkan berkata beberapa doktor disiasat polis kerana disyaki terlibat dalam kempen tersebut.

Abd Jalil berkata, tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana individu sengaja menggugat keselamatan awam.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan boleh menghubungi pegawai penyiasat kes, Asisten Supritendan Ng Guang Seng di talian 03-8886 222 atau pusat kawalan daerah Putrajaya 03-8886 2145.

Sumber

SUMBERBerita Harian

Comments