Pondok Bit Polis Terbakar, Dua Lelaki Ditahan Bantu Siasatan

kes kebakaran pondok bit polis

Menurut sumber BERNAMA, pihak Polis Di Raja Malaysia (PDRM) telah menahan dua orang lelaki semalam untuk membantu siasatan kes kebakaran di sebuah pondok bit polis berhampiran Pasar Jelawat, Bachok, yang disyaki dilemparkan bom petrol.

Dua lelaki berusia 24 dan 35 tahun itu ditahan berasingan selepas kejadian itu tular di Facebook dan aplikasi WhatsApp, yang menyaksikan seorang penunggang motosikal membakar pondok bit polis berkenaan.

Suspek pertama ditahan pada hari Sabtu pukul 10.30 malam, manakala seorang lagi pada jam 2.30 pagi semalam. Insiden kebakaran yang berlaku pada jam 3.12 pagi Sabtu itu telah merosakkan sebahagian besar pondok bit polis tersebut.

Advertisement

“Polis telah memeriksa satu rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berdekatan pondok bit polis itu dan mendapati seorang lelaki menunggang motorsikal telah pergi ke pondok tersebut lalu membuat nyalaan api sebelum beredar.” – Datuk Shafien Mamat

Menurut Ketua Polis Kelantan itu, pondok bit polis itu dikesan terbakar oleh orang awam yang kemudian melaporkan insiden tersebut kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat daerah Bachok.

Tambahnya lagi, pegawai penyiasat mendapati terdapat kesan jelaga pada dinding bahagian luar pondok bit polis tersebut dan kesan terbakar pada dinding selain kesan retak pada cermin tingkap.

Datuk Shafien Mamat ditemui pemberita selepas majlis serah terima tugas Timbalan Ketua Polis Kelantan SAC Abdullah Muhammad Piah kepada penggantinya Datuk Muhamad Zaki Harun di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan semalam.

“Pemeriksaan di lokasi kebakaran turut menemukan satu kepingan bahan yang terbakar dipercayai diperbuat daripada plastik dan kini dijadikan bahan kes.”

Pondok bit polis terbakar
Gambar kejadian kebakaran pondok bit polis dua hari lepas – Sumber Google

Beliau berkata lagi susulan penahanan dua lelaki tersebut, kedua-dua mereka mempunyai rekod kesalahan lampau malah ujian saringan air kencing mendapati salah seorang daripada mereka turut positif dadah.

Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengesan sama ada kejadian itu membabitkan individu lain atau sebaliknya dan polis juga sedang menyiasat motif kejadian.

Kedua-dua suspek direman enam hari bermula semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Pendapat anda? Kongsi bersama kami di Facebook dan Telegram AmazingNara

SUMBERBERNAMA

Comments