Prank Anak Boleh Memberikan Kesan Trauma Kepada Anak Untuk Jangka Masa Panjang

760

Baru-baru ini tular perkongsian seorang ibu yang membuat prank kepada anaknya yang terlalu kerap bermain telefon pintar. Ibu tersebut telah menyolek mata anaknya menjadi hitam ketika dia sedang tidur yang kononnya itu diakibatkan oleh kerap bermain telefon bimbit.

Daripada perkongsian itu, ramai yang bersetuju dengan cara tersebut untuk menyedarkan anak tentang bahaya ‘ketagih’ telefon bimbit. Namun, ada juga yang risau akibat dari prank ini mungkin akan memberi kesan trauma kepada anak.

Ternyata benar apabila Public Health Malaysia telah mengeluarkan kenyataan yang kebarangkalian tindakan itu boleh memberi kesan trauma kepada anak.

Biarpun penggunaan gadget secara berlebihan boleh mendatangkan kesan negatif kepada anak-anak namun ini semua bergantung pada pengawasan ibu bapa itu sendiri.

“Namun adakah kita terlalu terdesak sehingga sanggup melakukan prank yang boleh menyebabkan luka dan parut psikologi kepada anak anak?” 

Prank

Prank menjadi trend masa kini terutama sekali dengan adanya penggunaan media sosial yang luas. Prank secara ringkasnya adalah rancangan untuk mengenakan atau mempermainkan seseorang.

Trauma

Peristiwa atau persekitaran yang dialami oleh seseorang individu yang menyebabkan kesan emosi, fizikal, kesihatan seseorang individu. Semasa sedang mengalami trauma, otak kanak kanak berada dalam keadaan stres yang memuncak, hormon ketakutan di rembes dengan banyak.

“Keadaan ini menjadi lebih serius kerana otak kanak kanak sedang berkembang. Sebarang bentuk trauma akan KEKAL dalam memori untuk jangka masa panjang.”

Kanak-kanak yang mengalami trauma mungkin akan mengalami:

  • Rasa takut dan risau yang tak menentu
  • Sukar untuk ditenangkan atau dipujuk
  • Bertindak agresif dan impulsif
  • Hilang keyakinan diri
  • Sukar untuk tidur
  • Mundur dari segi fungsi dan tingkahlaku

via GIPHY

Ibu bapa merupakan insan yang paling dipercayai oleh kanak-kanak jadi sekiranya mereka melakukan sebarang prank, mereka hilang kepercayaan dari anak-anak ini. Bertambah buruk jika peristiwa ini diingati oleh anak-anak sepanjang mereka membesar, dikhuatiri mereka akan menyimpan dendam.

Walaupun perkongsian ini bertujuan untuk memberikan kesedaran namun ramai yang tidak bersetuju dengan kenyataan itu.

Macam mana sekalipun, ibu bapa lebih mengetahui apa yang terbaik untuk anak mereka. Setiap ibu bapa pasti ada cara tersendiri dalam mendidik anak-anak. Yang penting kesihatan mental dan fizikal anak-anak masih terpelihara.

Sumber: Public Health Malaysia

Comments

comments