Pukul Adik Tiri Guna Rotan Hingga Berbirat, Suami Isteri Ditahan Polis

Kes dera

Sepasang suami isteri ditangkap polis selepas dipercayai terbabit dalam kes dera seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun di Felda Raja Alias 4.

Nasib malang yang menimpa kanak-kanak berkenaan terbongkar selepas polis menerima panggilan daripada orang awam kira-kira pukul 9.45 pagi terdapat seorang kanak-kanak dipukul di felda berkenaan.

Perkara ini juga telah disahkan oleh Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook. Susulan itu, polis bergegas ke lokasi kejadian dan siasatan mendapati mangsa telah dipukul oleh abang tirinya berusia 34 tahun.

Lebih menguatkan dakwaan apabila suspek yang mempunyai dua rekod jenayah lampau ini dikatakan menggunakan rotan sehingga luka dan berbirat di bahagian badan kerana mangsa membaling batu ke rumah orang.

“Malah, hasil siasatan juga mendapati pada bulan Ramadan lalu, mangsa turut dipukul oleh isteri abang tirinya berusia 35 tahun menggunakan penyangkut baju kerana mencuri duit”

“Kedua-dua suspek telah ditangkap pada pukul 4.10 petang dan sebatang rotan sepanjang lebih kurang 78 sentimeter turut dirampas bagi siasatan lanjut”

Chang Hook berkata, setelah kematian ibu bapa, mangsa telah dijaga oleh suspek di rumah felda berkenaan.

Advertisement

Menurutnya, turut tinggal bersama di rumah berkenaan ialah bekas suami kepada arwah ibu mangsa iaitu ayah suspek dan seorang lagi adik-beradik mangsa.

Suspek mengaku memukul mangsa menggunakan rotan serta penyangkut baju dan mangsa yang cedera telah di hantar ke Hospital Jempol untuk rawatan lanjut.

Menurutnya, polis kini sedang menunggu keputusan pemeriksaan perubatan kanak-kanak berkenaan daripada pihak hospital.

Kedua-dua suspek akan dibawa ke Mahkamah Kuala Pilah pagi ini untuk permohonan reman bagi membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Semoga kes adik ini dapat diadili dengan sebaiknya.

SUMBER

Comments

comments