Ramai Tidak Setuju Cadangan Cuti Sekolah Berperingkat Setiap Negeri?

47

Seperti yang kita tahu, setiap kali musim cuti sekolah atau cuti umum pasti ada beberapa destinasi ‘hot’ di Malaysia akan dipenuhi orang ramai sehingga jalan raya pun menjadi sesak.

Sumber: NST

Contohnya seperti Pulau Pinang, Melaka dan Cameron Highland. Mana tidaknya waktu cuti sahaja lah masanya untuk berkumpul dan bercuti bersama keluarga.

Atas sebab kesesakan di lokasi-lokasi tersebut, Kementerian Pelancongan Kesenian dan Kebudayaan mencadangkan supaya cuti sekolah dibuat secara berperingkat dan berbeza bagi setiap negeri untuk memacu sektor pelancongan dan mengurangkan kesesakan di beberapa tempat tumpuan pelancong.

Timbalan Menterinya Muhammad Bakhtiar Wan Chik berkata, pihaknya sedang merangka cadangan itu yang akan dikemukakan  kepada kepada Kementerian Pendidikan.

Cadangan itu hanya melibatkan cuti sekolah yang panjang sahaja iaitu biasanya pada bulan Mac, Jun dan September sahaja.

“Mungkin kita boleh bahagikan negeri di kawasan utara, selatan dan pantai timur supaya tempoh minggu cuti sekolah di negeri ini berbeza antara satu sama lain.

“Dengan cuti sekolah secara berperingkat ini, kawasan tumpuan pelancong dalam negara akan menerima jumlah kunjungan pelancong lebih sekata sepanjang masa dan bukannya seperti keadaan sekarang apabila keadaan menjadi terlalu sesak menjelang tiba cuti sekolah.”

Pihak kementerian akan menjalankan proses pengumpulan data daripada pihak hotel dan pengusaha sektor pelancongan sebelum membentangkan cadangan itu kepada Kementerian Pendidikan.

Namun cadangan itu mendapat pelbagai reaksi daripada netizen dan rata-rata tidak bersetuju walaupun idea itu belum dibentangkan lagi secara rasmi.

Ramai menganggap cadangan ini tidak relevan kerana mungkin ada anak-anak mereka yang bersekolah di negeri berlainan dan ibu bapa pula bekerja di negeri lain. Perkara itu akan menyukarkan beberapa perancangan mereka.

Cadangan ini mengambil contoh daripada negara-negara luar seperti Amerika Syarikat dan Australia yang telah mengguna pakai cara ini untuk mengelak kesesakan pelancong.

Mungkin cadangan ini dapat membantu sektor pelancongan negara, tetapi faktor lain juga perlu diambil kira dan diperincikan terlebih dahulu sebelum cadangan ini diteruskan.

Comments

comments