RM1,000 Pelepasan Cukai Diberikan Kepada Rakyat Malaysia Di Dalam Pakej Rangsangan Ekonomi

Tun M
Kredit: malaysiakini

Bagi mengurangkan kesan daripada wabak virus COVID -19 terhadap industri pelancongan Malaysia, Perdana Menteri Interim Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan insentif kepada rakyat Malaysia yang melancong dalam negara dalam bentuk pelepasan cukai dan baucar semalam.

Ini adalah bagi merangsang permintaan pelancongan di dalam negara. Tun Dr Mahathir memperkenalkan bantuan peribadi dalam bentuk pelepasan cukai sehingga RM1,000 untuk perbelanjaan berkaitan pelancongan domestik.

Beliau juga berkata kerajaan akan memperuntukkan RM500 juta bagi baucar-baucar dan geran yang sesuai untuk promosi pelancongan. Rakyat Malaysia juga layak mendapatkan baucar digital sehingga RM100 seorang untuk penerbangan domestik, landasan kereta api dan penginapan hotel yang berlesen. Selain itu, kerajaan juga akan memudahkan aliran tunai bagi perniagaan yang terkesan akibat wabak tersebut.

Bantuan secara individu sebanyak RM600 akan diberikan secara sekali bayar kepada pemandu teksi, pemandu bas persiaran dan pemandu pelancong serta penarik beca yang berdaftar.

Kerajaan akan menawarkan potongan berganda kepada perbelanjaan ke atas latihan bagi sektor pelancongan. Sebanyak RM100 juta geran padanan kepada Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRDF) diberikan untuk membiayai tambahan 40,000 pekerja daripada sektor pelancongan dan sektor lain yang terkesan.

Advertisement

Selain itu, bagi subsidi pembiayaan kursus jangka pendek dalam bidang digital dan berkemahiran tinggi peruntukan sebanyak RM50 juta juga akan diberikan. Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) akan ditambah baik melalui kos latihan yang boleh dituntut iaitu ditingkatkan daripada RM4,000 kepada RM6,000. Hal ini, dapat menggalakkan majikan untuk terus melabur dalam meningkatkan produktiviti pekerja mereka.

Kerajaan juga akan melonggarkan arahan untuk mengehadkan penggunaan hotel oleh agensi kerajaan bagi membantu permintaan pelancongan yang berkurangan.

Kerajaan akan menyalurkan segala peruntukan melalui usaha sama dengan kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan dan komuniti. Bagi memastikan pelaksanaan projek dapat dilaksanakan dengan berkesan, pihak kerajaan menyeru pihak terlibat memainkan peranan supaya peruntukkan yang diberikan disalurkan secukupnya kepada agensi pelaksanaan masing-masing menjelang suku pertama 2020.

Sumber

Comments

comments