“Saya Lebih Rela Masuk Penjara” – Peniaga Colek Dikompaun RM 50,000 Sebab Berniaga Lebih Masa

Isu kompaun yang dikenakan kepada peniaga kecil kini menjadi bualan warganet. Terbaru, seorang peniaga colek di Kampung Chekok Tengah, Kelantan turut dikenakan kompaun bernilai RM 50,000.

Memetik laporan Berita Harian, peniaga yang dikenali sebagai Mohd Azizi Mohd Nor, 42, akan berniaga colek pada sebelah malam sepanjang bulan Ramadan di hadapan rumahnya. Dia terkejut apabila didatangi anggota polis pada jam 11.20 malam, kelmarin.

Menurutnya, anggota berkenaan tidak bertanyakan maklumat lanjut terhadap dia dan isterinya lalu terus menulis kompaun RM 50,000 kerana kesalahan operasi lebih masa.

“Nak dapat RM 100 setiap malam dengan berniaga colek pun susah sebab berniaga kecil-kecilan di kampung” 

Pada awalnya dia sudah menutup kedai jam 10 malam dan beberapa lampu juga sudah ditutup. Ketika polis datang, dia dan isterinya sedang mengemas dapur dan sudah tentu ianya mengambil masa yang lama. Pada masa yang sama, dia sedang menggoreng keropok untuk anak-anaknya.

Advertisement

Peniaga itu berkata, dia mempunyai tanggungan lima orang anak yang masih bersekolah dan juga menanggung tiga orang anak saudaranya.

“Jangan kata RM 50,000, kalau dikurangkan RM 10,000 pun saya tak mampu. Kalau tiada pilihan lain, saya lebih rela memilih untuk masuk penjara” 

Katanya, ini merupakan kali pertama dia dikenakan kompaun tapi terus kena RM 50,000. Sejak empat tahun lalu, dia dan isteri akan berniaga colek setiap malam pada waktu Ramadan.

Tambahnya, dia sudah ke Pejabat Kesihatan Daerah semalam untuk membuat rayuan dan sehingga kini mereka masih buntu dengan apa yang berlaku. Dia berharap ada pihak yang sudi tampil untuk bantu mereka sekeluarga.

Terdahulu, Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat memaklumkan, pihaknya akan meneliti kompaun RM 50,000 yang dikenakan kepada tiga peniaga termasuk peniaga colek tersebut. Peniaga terlibat akan dipanggil untuk ditawarkan nilai kompaun mengikut garis panduan.

Sumber

Comments

comments