Selepas Empat Tahun, Mahkamah Beri Hak Penjagaan Kekal Anak Mangsa Kemalangan DUKE Pada Ibu Saudara

43069

Jika anda masih ingat, tiga tahun lepas, agak kecoh di Internet apabila Datin Yusnidah Hussain, 51, mengadakan sidang akhbar. Yusnidah, kakak kepada sepasang suami isteri yang terbunuh dalam kemalangan di lebuhraya Duke pada Februari 2015 memberitahu melalui satu sidang media bahawa adik bongsunya, Muhammad Faizznur Asyraf Husain, 29, yang menguar-uarkan akan menjaga anak-anak perempuan mangsa seramai dua orang telah melakukan pecah amanah dan tidak pernah menjaga kanak-kanak itu.

Berita itu menimbulkan kemarahan Netizen yang telah ‘menyerang’ Facebook Faizznur dengan ratusan komen memintanya memulangkan wang milik anak-anak yatim itu yang dahulunya didermakan orang ramai kepada mereka melalui akaun Facebook miliknya. Yusnida berkata yang Faizznur mendakwa wang derma orang ramai sebanyak lebih RM 300,000 itu miliknya kerana ia dimasukkan ke dalam akaun bank miliknya setelah merujuk kepada Mufti Wilayah Persekutuan. Mufti bagaimanapun menafikan pernah memberitahu Faizznur sebegitu.

Pada Oktober 2016, Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur melarang Faizznur dan abangnya, Hamlizar Husain 47, menjalankan sebarang transaksi terhadap akaun-akaun Maybank milik mereka yang digunakan untuk mengutip derma buat anak yatim berkenaan sehingga kes induk berkaitan nafkah diputuskan mahkamah.

Mahkamah juga mengarahkan pihak pengurusan Maybank memberi kerjasama sewajarnya untuk membekalkan dokumentasi berhubung transaksi sumbangan orang ramai ke dalam akaun itu.

Yusnidah bersama Amira dan Aqilah di mahkamah. Gambar: Harian Metro/Eizairi Shamsudin

Semalam, selepas empat tahun ibu bapa mereka meninggal dunia, Mahkamah Syariah Kuala Lumpur menetapkan bahawa hak penjagaan Nur Firuza Amira, 11, dan Nur Firuza Aqila, 9, diberikan kepada Yusnidah selaku ibu saudara mereka dan kakak kepada ibu bapa mereka.

Hakim Syarie Zaim Md Yudin membuat keputusan itu selepas mendengar keterangan saksi bagi pihak Yusnidah, selaku plaintif dan defendan iaitu Wirda Syamsuddin, 56, serta keterangan dari dua beradik itu sendiri.

Hakim tersebut turut memutuskan hak lawatan diberi kepada nenek mereka, Wirda, yang tinggal di Teluk Intan, Perak, iaitu setiap cuti sekolah dibahagikan kepada dua iaitu separuh pertama kepada pihak plaintif manakala bakinya diberikan kepada defendan.

Faizznur Asyraf, yang dikecam Netizen kerana gagal menunjukkan ke mana wang derma yang disumbangkan orang ramai untuk Amira dan Aqilah dibelanjakan, serta menayangkan perbelanjaan perkahwinannya yang mewah di media sosial pada 2016, tidak dapat dikesan di sebarang akaun media sosial. Satu laman mendakwa laman rasmi Faizznur Asyraf ialah laman palsu.

Memandangkan hak penjagaan kekal sudah diputuskan, Netizen menjangkakan akaun bank Faizznur Asyraf dan Hamlizar akan dinyahbekukan dan wang derma yang diberikan untuk mereka akan dapat diambil semula. – amazingnara.com via FrontDesk MY

 

Comments

comments