Seorang Jurugambar Berkongsi Foto-Foto Disekitar Kuala Lumpur Yang Lengang Ketika PKP

Ramai yang menantikan kehadiran tahun 2020 yang satu ketika dulu dibayangkan dengan tekonologi kereta terbang dan kegigihan untuk mencapai Wawasan 2020. Namun, malangnya kita semua telah dikejutkan dengan kehadiran pandemik COVID-19 yang telah membawa kepada krisis kesihatan dan ekonomi di seluruh dunia.

Rakyat Malaysia telah menjalani kehidupan dengan menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang memerlukan kita semua duduk di rumah bagi mengekang penularan pandemik ini.

Ramai yang telah kehilangan pekerjaan selama perintah ini, sementara itu ada yang telah menceburkan diri dalam pekerjaan lain termasuklah seorang individu bernama Raihan Talib.

Raihan berusia 47 tahun merupakan seorang jurugambar sepenuh masa sebelum COVID-19 melanda Malaysia. Dia banyak merakamkan acara keramaian seperti perkahwinan, hari keluarga, korporat dan lain-lain. Pastinya banyak perancangan telah dibuat bagi kerjayanya untuk tahun 2020 ini.

Tetapi oleh kerana PKP, segala perancangan ini harus ditangguhkan hingga akhir tahun atau mungkin sehingga awal tahun depan. Bagi menampung keperluan harian, dia memutuskan untuk mula bekerja sebagai rider penghantar barang untuk syarikat Lalamove bermula bulan April lalu.

Ketika menjalankan tugas barunya, Raihan melihat perubahan pada persekitaran Kuala Lumpur yang sangat sunyi dan lengang. Oleh itu, dia mendapat idea untuk merakamkan gambar keadaan yang jarang berlaku ini sebagai kenangan dan simpanan peribadi. Setiap kali dia keluar bertugas dan mempunyai peluang untuk merakamkan gambar, dia akan berhenti di tepi jalan dan mengambil gambar dengan hanya menggunakan telefon bimbitnya. Apabila sudah terkumpul, dia memuat naik gambar-gambar tersebut di laman Facebook miiknya.

Raihan tidak menyangka gambar-gambar yang dimuat naik itu telah menarik perhatian ramai sehingga mendapat 2,600 perkongsian setakat ini. Dia menyatakan apa yang dilakukannya bukanlah untuk keuntungan atau bayaran tetapi sekadar bagi menyimpan kenangan peribadi.


Raihan turut berkongsi bahawa lalu lintas semasa PKP sangat lengang dan tidak memberikan sebarang tekanan. Namun selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), dia dapat melihat orang ramai mulai bekerja dan lalu lintas kembali sibuk sedikit demi sedikit.

Bagi anda yang ingin melihat gambar-gambar lain yang dirakamkannya bolehlah melawat laman Facebook Raihan Talib.

Comments

comments