Sewa Pangsapuri Untuk Pesta Air Ketum, 10 Individu Ditahan Ingkar SOP

Kerajaan sudah menetapkan aktiviti merentas daerah dan negeri masih belum dibenarkan kerana ianya berpotensi untuk meningkat kadar jangkitan kes Covid-19 di Malaysia. Walaupun masyarakat sudah sedia maklum, masih ada lagi segelintir individu yang hanya memandang sebelah mata berhubung dengan perkara ini.

Memetik laporan Harian Metro, seramai sepuluh individu ditahan  kerana merentas daerah dan menyewa sebuah pangsapuri untuk melakukan pesta air ketum.

Tindakan mereka itu dikesan oleh pihak polis dalam Op Pematuhan Covid-19 dan Op Limau, awal pagi tadi.

Advertisement

Menurut Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor, pasukan anggotanya telah menyerbu pangsapuri di Lebuh Kampung Benggali, Butterworth selepas menerima laporan kegiatan berkenaan pada 1.10 pagi.

Hasil serbuan, lapan lelaki dan dua wanita berusia antara 21 hingga 31 tahun itu didapati berada di pangsapuri yang mereka sewa pada harga RM 150 sehari untuk berhimpun dan berhibur. 

Bukan itu sahaja, hasil pemeriksaan, polis menemui enam bungkusan plastik berikat getah, satu botol plastik berisi cecair disyaki air ketum dan satu set pembesar suara di pangsapuri berkenaan.

Noorzainy berkata, kesemua individu berkenaan tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan ujian saringan air kencing negatif dadah.

Mereka disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan dikompaun RM1,000 di bawah Peraturan 4(1) dan 10(1) Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 kerana berhimpun untuk aktiviti sosial dan rentas daerah.

Sumber

SUMBERHarian Metro

Comments