Tak Selidik Dulu Sebelum Tempah, Ini Bahana Bila Salah Pilih Pakej Pelancongan Bajet

Pakej percutian ke Pulau Redang dan Perhentian serendah RM200 untuk tiga malam? Secara logik, tidak mungkin harga pakej serendah ini.

FMT melaporkan, beberapa agensi pelancongan berdaftar dan semakan mendapati rata-ratanya harga bermula daripada RM 450. Mengesyaki adanya unsur penipuan, pemberita menghubungi Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) untuk mendapatkan penjelasan.

Advertisement

“Orang kita kalau nampak tawaran murah sikit, mesti terus terpengaruh. Secara logik, harga semua dah meningkat sekarang, semua pun dah mahal,” kata Presiden MATTA, Datuk Hamzah Rahmat.

Beliau berkata demikian mengulas kejadian rakyat Malaysia yang ‘hilang arah’ apabila tiba di Lombok dan Vietnam selepas ditipu ejen pelancongan yang menawarkan percutian pada harga yang sangat rendah.

Menurut Hamzah, bukan pelancong Malaysia sahaja tertipu, bahkan terdapat kes jemaah umrah terperangkap dalam sindiket harga murah ini.

“Mengambil contoh pakej Umrah bernilai RM3500. Ia adalah tak logik kerana kos ke Jeddah termasuk penginapan juga menelan belanja sekitar harga itu,” ujarnya.

MATTA turut menasihatkan orang ramai agar tidak mudah terpedaya dengan pakej pelancongan dan umrah murah.

“Anda harus periksa sama ada agen itu berpusat dari pejabat. Bila dah kena tipu, persatuan pun tidak boleh lakukan apa-apa kerana ini salah sendiri,” katanya meminta orang ramai tidak terpedaya dengan ‘penyangak’ tidak berlesen.

Dalam masa sama, Hamzah berpesan kepada orang ramai hadir ke pameran MATTA yang bakal berlangsung pada 2-4 September depan untuk tawaran yang lebih baik dan selamat.

“Setakat ini, hampir 95% gerai sudah terisi. Seramai 1240 agensi pelancongan berdaftar akan menyertai MATTA Fair kali ini.”

Beliau turut menjangkakan sambutan lebih hebat berbanding MATTA Fair Mac lalu.

“Kami sasarkan seramai 120,000 bakal hadir ke pameran yang berlangsung pada September depan. Sambutan orang ramai masih luar biasa biarpun Cukai Barang & Perkhidmatan (GST) dikenakan,” ujar beliau rakyat Malaysia sudah mula ‘sebati’ dengan GST.

Menariknya, pameran MATTA kali ini turut menyediakan ruang khas agensi pelancongan yang mengurus pakej Umrah.

Comments

comments