Terima Surat Tawaran PhD, OKU Penglihatan Cari Peluang Gapai Impian Jadi Pensyarah

OKU penglihatan

Disahkan sebagai orang kelainan upaya (OKU) sejak umur 13 tahun tidak menjadi halangan buat pemuda yang bercita-cita menjadi seorang pensyarah.

Khairullah Affarouk Paiman ketika bercakap kepada mStar, dia mengalami masalah penglihatan selepas satu kejadian yang menimpa dan matanya cedera terkena lontaran bola.

Kini, anak kelahiran Felda Pemanis di Segamat, Johor mempunyai kelulusan akademik di peringkat Ijazah Sarjana dan baru menamatkan pengajian tahun lalu.

Dia yang mesra dipanggil Khairul, berusia 37 tahun tidak mahu melihat kekurangan itu sebagai halangan buat dirinya dan mahu membuktikan dia juga mampu mempunyai kelulusan tinggi.

Advertisement

“Selepas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), saya belajar di Sekolah Tinggi Muar di Johor untuk Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) sebelum meneruskan pengajian dalam Ijazah Sarjana Muda Pengajian Melayu di Universiti Malaya (UM) di Kuala Lumpur”.

“Saya kemudian menyambung pengajian Ijazah Sarjana Bahasa Melayu di Universiti Putra Malaysia di Serdang, Selangor dengan bantuan Biasiswa Wakaf Ilmu UPM”.

Kini, Khairul mendapat tawaran untuk menyambung pengajian dalam peringkat Ijazah Kedoktoran (PhD) program Bahasa Melayu di UPM. Namun, anak kedua daripada enam beradik itu belum membuat keputusan atas alasan masalah kewangan.

“Siapa yang tidak gembira apabila diberikan peluang untuk sambung belajar ke peringkat PhD kerana itulah misi saya dari sekolah kerana cita-cita mahu menjadi pensyarah”.

“Hasrat saya adalah untuk menjadi penyampai ilmu sebagai pensyarah bahasa dan secara tidak langsung dapat memperkasa Bahasa Melayu di Malaysia”.

Khairul kini tinggal bersama ibunya yang berusia 66 tahun selepas bapanya meninggal dunia pada tahun 2009.

OKU penglihatan

“Bagi mencapai cita-cita yang amat besar ini, saya perlu kuat dan bersemangat dengan mempunyai kelulusan tertinggi menerusi pengajian di PhD”.

Lantaran itu, Khairul masih menunggu dan mencari mana-mana pihak yang sudi membantu atau menaja kos pengajiannya ke peringkat PhD.

“Walaupun baru menerima surat tawaran dan belum mendaftar lagi kerana kekangan kewangan, tapi semangat saya begitu membara untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat tertinggi. Saya masih mencari ruang dan peluang untuk merealisasikan impian saya untuk menjadi pensyarah suatu hari nanti”.

“Siapa tahu ada rezeki buat OKU penglihatan seperti saya untuk mempunyai kelulusan tertinggi di peringkat PhD sebagaimana mereka yang lain”.

Antara pencapaian Khairul adalah menjadi Timbalan Presiden Persatuan Mahasiswa Istimewa Universiti Malaya sesi 2007/2008, menyertai Sukan Paralimpik 2016 sebagai atlet catur peringkat kebangsaan dan merupakan peserta pengajian perbandingan antarabangsa di Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, UPM pada Oktober 2019.

SUMBER

 

 

 

 

 

Comments

comments