(TERKINI) Angka Kematian Meningkat Ke 19, 73 Anggota KKM Disahkan Positif COVID-19

4789
covid-19 di malaysia

Semakin hari, semakin meningkat kes COVID-19 di Malaysia. Pihak kerajaan juga telah berusaha sekeras mungkin bagi membendung penularan ini selain mengambil inisiatif yang tidak akan membebankan rakyat pada masa akan datang.

Terbaru, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengumumkan 172 kes baru pada hari ini (25 Mac) lantas menjadikan jumlah kes keseluruhannya ialah 1,796. Selain itu, 199 pesakit telah sembuh dan discaj manakala 45 pesakit sedang menerima rawatan di ICU termasuk 34 bergantung kepada alat bantuan pernafasan.

Daripada 172 kes baru ini, 71 pesakit daripada kluster perhimpunan di Sri Petaling selebihnya kluster lain yang masih dalam siasatan.

covid-19 di malaysia

Dukacita dimaklumkan bahawa seramai 73 anggota kesihatan KKM adalah positif COVID-19 namun punca jangkitan bukanlah disebabkan oleh pengendalian pesakit positif di fasiliti kesihatan KKM. Daripada jumlah itu, 47 kes berkait rapat dengan majlis perkahwinan yang turut dihadiri oleh peserta ijtimak tabligh. Selain daripada itu adalah sejarah perjalanan ke luar negara dan juga kontak rapat dengan pesakit.

Kakitangan hospital yang dijangkiti COVID-19 melibatkan staf di Hospital Teluk Intan, Perak, iaitu seramai 37 orang. Selebihnya di Hospital Putrajaya, Hospital Raja Perempuan Zainab, Kelantan, Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang dan Hospital Selayang.

Selain itu, kes kematian kini telah meningkat ke angka 19 dengan pertambahan dua kes baru. Kes kematian ke-18 adalah pesakit kes 1,625 iaitu lelaki warga tempatan berumur 56 tahun dan mempunyai penyakit kronik. Mangsa dirawat di Hospital Sultan Ismail, Johor sebelum meninggal dunia pada 23 Mac 2020.

Kematian ke-19 pula ialah kes 1,246 melibatkan seorang wanita tempatan berumur 68 tahun. Beliau dirawat di Hospital Sultanah Nora Ismail pada 19 Mac dan menghembuskan nafas terakhir pada hari ini.

Salam takziah kepada keluarga mangsa.

Sumber

Comments

comments