Tidak Boleh Merokok Di Semua Restoran Terbuka Mulai 1 Januari 2019

80

Sebelum ini, Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye mengumumkan mulai Disember depan semua restoran terbuka akan diisytiharkan sebagai kawasan larangan merokok.

Bagaimanapun waktu itu, pengumuman pihak kementerian masih dalam peringkat perbincangan dengan pelbagai pihak untuk menjalankan cadangan berkenaan.

Hari ini, Dr. Lee berkata cadangan tersebut telah pun diluluskan dan akan berkuat kuasa mulai awal tahun depan iaitu 1 Januari 2019.  Arahan akan dikeluarkan di semua restoran dan premis makanan seluruh negara.

Larangan tersebut sudah lama diwujudkan di bangunan-bangunan kerajaan dan restoran-restoran tertentu sahaja. Namun kali ini ianya melibatkan semua restoran termasuk warung-warung ditepi jalan.

Tindakan akan diambil terhadap perokok dan juga pemilik premis jika tidak mematuhi peraturan yang terbabit mengikut Peraturan-Peraturan Kawalan hasil Tembakau 2004 di bawah Akta Makanan 1983 (Akta 324).

Akan terdapat bantahan

Mungkin ini merupakan berita gembira untuk golongan yang tidak merokok kerana mereka selalu menjadi ‘mangsa’ terpaksa menghidu asap rokok yang dihembus oleh orang ramai ketika makan di restoran-restoran terbuka.

Tetapi pengumuman ini pasti mendapat bantahan oleh golongan perokok tegar di Malaysia. Bukan perokok sahaja, malah peniaga makanan dan pengusaha restoran juga memberi reaksi negatif dan membantah pelaksanaan undang-undang baru ini sejak dari peringkat cadangan lagi.

Mereka risau pelaksanaan undang-undang ini akan menjejaskan perniagaan dan para pelanggan akan lari.

Tetapi pihak kementerian tidak akan berkompromi apabila ia membabitkan aspek kesihatan orang ramai walaupun menyedari akan bantahab yang mereka akan dapat mengenai arahan tersebut.

“Masyarakat bukan perokok berhak menikmati makanan mereka tanpa gangguan pencemaran asap rokok yang boleh menjejaskan keselesaan dan kesihatan mereka.

Peniaga juga tidak perlu risau akan risiko kekurangan pelanggan kerana kita yakin pelanggan akan lebih ramai kerana berasa selesa tanpa gangguan asap rokok.”

Larangan tersebut merupakan satu langkah KKM untuk memastikan rakyat Malaysia terhindar dari penyakit yang berpunca daripada asap rokok.

“Situasi ini sekali gus diharap dapat mengurangkan perbelanjaan kerajaan dalam aspek kos rawatan pesakit yang berpunca daripada asap rokok.”

Sebelum ini, sebanyak 30 persatuan perubatan telah menandatangani sebuah surat terbuka menyatakan sokongan terhadap tindakan kerajaan dalam mewartakan tempat makan terbuka sebagai kawasan larangan merokok.

Namun begitu, telah dapat beberapa pihak yang menyatakan bahawa tindakan kerajaan adalah sedikit radikal dan kurang sesuai untuk dilaksanakan kerana orang awam harus diberikan hak bersama dalam isu ini.

Namun ini adalah komitmen Malaysia sebagai negara anggota kepada Konvensyen Rangka Kerja Kawalan Tembakau dan mematuhi panduan di bawah Artikel 8 Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Sebenarnya ini merupakan pelaksanaan yang relevan kerana ramai perokok yang tidak peka dan ambil peduli keadaan sekeliling apabila mereka ingin merokok.

Perkara ini menjadi sangat bahaya dan boleh dikatakan pentingkan diri apabila merokok di restoran yang penuh dan ada anak-anak kecil.

Jadi apa pula pendapat anda tentang pelaksanaan ini?

Comments

comments