Ugut Bunuh Dan Maki Kakak Sendiri Sebab Tak Masak Nasi, Lelaki Ini Dipenjara 2 Tahun

Mahkamah Majistret menjatuhkan hukuman penjara dua tahun kepada seorang buruh kerana mengugut kakaknya secara jenayah berpunca daripada wanita tersebut tidak memasak nasi, lapor akhbar Harian Metro.

Majistret Kamarul Hasyme Rosli memutuskan hukuman itu selepas tertuduh, Mohammad Shafiq Romly, 33, mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, Mahsuri Romly, 37, iaitu kakak kepada tertuduh menerima ugutan jenayah daripada Mohammad Shafiq dengan menakutkan wanita berkenaan untuk membunuh dia dan keluarga di sebuah rumah di Jalan Kubur Tok Pah, Kampung Jambu, Kota Bharu pada 17 Mac lalu.

Foto: Harian Metro

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Advertisement

Mengikut fakta kes, tertuduh didakwa mengamuk dengan memaki serta mengugut mangsa sambil berkata ingin membunuhnya dan ahli keluarga lain kerana mangsa tidak masak nasi selepas tertuduh bangun daripada tidur.

Terdahulu, pendakwaan oleh Timbalan Pendakwa Raya Siti Edabayu Subhan, dan tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Siti Atikah Abd Halim.

Siti Edabayu memohon hukuman setimpal mengambil kira hubungan tertuduh dengan mangsa pada masa akan datang, namun Siti Atikah merayu bagi pihak anak guamnya dan memberitahu tertuduh sudah insaf.

Sumber

SUMBERHarian Metro

Comments