Utusan Dan Kosmo Bakal Menamatkan Operasi Hari Ini

2420

Apakah nasib 800 kakitangan Kumpulan Utusan Melayu (M) Bhd sehingga hari ini menjadi tanda tanya buat semua orang.

Dimana sebelum ini, pada Ogos lalu syarikat ini telah mengeluarkan kenyataan akan menghentikan percetakan dua akhbar mereka iaitu Utusan Malaysia dan Kosmo! dengan edaran terakhir pada 19 Ogos.

Baca ini: Utusan dan Kosmo henti operasi minggu ini

Namun, syarikat tersebut membuat keputusan pada 21 Ogos untuk meneruskan penerbitan akhbar mereka biarpun dilanda kemelut kewangan.

pekerja berhimpun di hadapan Utusan

Baca ini: Utusan dan Kosmo akan terus beroperasi

Dikhabarkan hari ini, Utusan akan menghentikan operasi dan semua pekerja akan diberi notis pemecatan tengah hari ini.

Menurut Harian Metro, ini dipercayai keputusan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan Melayu (M) Bhd, Datuk Abd Aziz Sheikh Fadzir yang akan mengumumkan kebankrapan sukarela syarikat itu.

Setiausaha Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) Cawangan Utusan, Muhammad Basir Abu Bakar berkata, semua kakitangan sudah diarahkan untuk mengosongkan meja masing-masing selewat-lewatnya jam 1 tengah hari.

Katanya, wartawan dan jurugambar juga tidak diberikan tugasan menguatkan lagi dakwaan penamatan operasi syarikat akhbar itu.

Setakat ini kakitangan tidak dimaklumkan secara rasmi mengenai dakwaan itu daripada pihak pengurusan, sebaliknya hanya diminta mengosongkan meja masing-masing oleh ketua unit.

Ini menjadi tanda tanya 800 kakitangan yang masih bekerja mengenai nasib kami.

Beliau berkata, tindakan mengisytiharkan syarikat itu bankrap dipercayai untuk mengelak daripada membayar sebarang pampasan kepada pekerja dan bekas pekerja yang mengambil Skim Pemisahan Sukarela (VSS).

Katanya, jika benar akhbar kumpulan ini ditamatkan operasi, ia menjadi satu tamparan hebat kepada industri persuratkhabaran Melayu.

“Kami juga mahu Datuk Abd Aziz mengotakan janji untuk tidak meletakkan ‘batu nisan’ kepada Utusan.”

NUJ Cawangan Utusan dijangka akan mengadakan sidang media tergempar jam 12 tengah hari ini di ibu pejabatnya di Jalan Chan Sow Lin mengenai kemelut berkenaan.
Industri akhbar Melayu akan berkubur

Menurut Malaysia Kini, perkembangan itu susulan Utusan Melayu (Malaysia) Bhd mengumumkan akan melupuskan 70% saham anak syarikat milik penuhnya, Dilof Sdn Bhd kepada Aurora Mulia Sdn Bhd milik ahli perniagaan Syed Mokhtar Al-Bukhary.

Sepanjang setahun ini, Aurora Mulia giat mengembangkan pegangannya dalam Media Prima Bhd. Syarikat itu kini memegang 31.22% saham dalam Media Prima.

Satu pesanan yang disebarkan di WhatsApp disebarkan bertajuk ‘Spekulasi Terbaru’ yang mengatakan Utusan Malaysia akan menyelesaikan hutang berjumlah RM230 juta, dan kemungkinan besar semua pekerja akan ditamatkan khidmat.

Menurut pesanan itu lagi, belum pasti sama ada akhbar itu akan meneruskan penerbitan ketika tempoh peralihan.

 

Sumber: Harian Metro, Malaysia Kini

Comments

comments