VinFast ‘Fadil’ Jenama Kereta Pertama Vietnam

1156

VinFast Fadil tiada kena mengena dengan Abang Long Fadil yang popular di layar perak Malaysia, malah ia juga mungkin tidak kenal siapa itu watak yang kami cuba sebutkan tadi.

Ini adalah jenama kereta pertama Vietnam, VinFast yang sudah bersedia melancarkan model pertama mereka iaitu Fadil di pasaran.

Produk pertama ini merupakan sebuah crossover utility vehicle(CUV) urban yang ditukarkan lencananya daripada Opel Karl Rocks.

Difahamkan, VinFast Fadil akan mula dihantar ke pengedar pada 17 Jun ini, manakala sedan LUX A2.0 dan SUV LUX SA2.0 pula akan diedarkan pada penghujung Julai ini.

Tempahan untuk Fadil sudah dibuka di 32 cawangan VinFast di Vietnam. Model pertama VinFast ini adalah berdasarkan rekaan model Opel Karl/Vauxhall yang dijual di pasaran Eropah dengan perbezaan rekaan grille hadapan dan logo yang berlainan.

Fadil ketika ini hanya hadir untuk model 1.4L dan harga pasaran untuk model Fadil ini adalah USD16,900 (~RM70,572).

Syarikat VinFast juga bakal menghasilkan model sedan dan motosikal elektrik tidak lama lagi.

Fasiliti yang terletak di bandar pelabuhan utara Hai Phong itu mempunyai kapasiti pengeluaran sebanyak 250,000 buah kereta dan 250,000 motosikal elektrik setahun.

Kapasiti pengeluaran tersebut akan ditambah dua kali ganda apabila fasa kedua kilang tersebut siap pada tahun 2025.

Dengan adanya fasiliti pemasangan tersendiri, VinFast turut mensasarkan kandungan barangan tempatan sehingga 60 peratus untuk kereta, dan 100 peratus kandungan tempatan untuk motosikal elektrik.

Sumber: careta.my

Comments

comments